comscore
Tumpuan :
Nasional

Pintu pesawat Alaska Airlines tercabut sah buatan Malaysia – NTSB 

WASHINGTON: Pintu Boeing 737 MAX 9 milik Alaska Airlines yang tercabut hingga menyebabkan pesawat itu melakukan pendaratan kecemasan di Portland, Oregon, Amerika Syarikat pada awal bulan ini dikeluarkan di Malaysia, menurut Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB).

Menurut laporan Wall Street Journal, Pengerusi NTSB Jennifer Homendy berkata pintu itu dikeluarkan oleh Spirit AeroSystems di Malaysia sebelum dihantar ke pembekal Boeing di Wichita, Kansas.

Beliau berkata bahawa siasatan NTSB juga akan menyelidik pengeluaran pintu itu, pengangkutan, pemasangan, dan masuk dalam perkhidmatan, serta pemeriksaan kualiti sepanjang proses itu.

“Pada masa ini kami tidak mempunyai petunjuk di mana dalam proses ini ia terjadi. Ini boleh berlaku di mana sahaja sepanjang proses, dan kami tidak hanya menumpukan pada pengeluaran,” kata Homendy dalam taklimat tertutup kepada anggota Jawatankuasa Perdagangan Senat.

Jumaat lalu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook memberitahu wartawan beliau tidak mendapat sebarang maklumat mengenai pintu pesawat dengan tulisan ‘Made in Malaysia’ itu.

Bagaimanapun, Loke berkata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan meneliti perkara itu sekiranya syarikat penerbangan terlibat menghantar laporan rasmi.

Pada minggu lalu, portal berita Oregon Public Broadcasting (OPB) melaporkan seorang guru sekolah di Portland menemui pintu pesawat yang tercabut di halaman belakang rumahnya.

OPB melaporkan bahawa Bob Sauer turut melihat nombor siri pintu dan maklumat pengeluaran lain, seperti ‘Made in Malaysia’ yang kelihatan ditulis dengan tangan menggunakan pen dakwat kekal.

Terdahulu empat penumpang menyaman Alaska Airlines dan Boeing kerana pengalaman ‘ngeri’ yang mereka alami selepas palam pintu “terputus” semasa penerbangan mereka, menurut aduan yang difailkan pada Selasa, lapor ABC News.

Palam pintu untuk fiuslaj Boeing 737 Max 9 tertanggal beberapa minit selepas penerbangan 1282 Alaska Airlines berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Portland pada 5 Januari, menekan kabin dan mendedahkan penumpang pada ketinggian beribu-ribu kaki di udara, menurut NTSB.

Bagaimanapun tiada sesiapa yang cedera parah dan pesawat itu melakukan pendaratan cemas dengan selamat.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini