Tumpuan :
Nasional

Pintu pagar terbuka, kanak-kanak lelaki hilang

Kanak-kanak lelaki berusia 19 bulan, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi dikhuatiri hilang di Kampung Aira Kuala Tiga, di sini, malam tadi. FOTO NSTP/IHSAN PEMBACA

TANAH MERAH: Kanak-kanak lelaki berusia 19 bulan dikhuatiri hilang di Kampung Aira Kuala Tiga, di sini, malam tadi.

Kanak-kanak terbabit, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi disedari tiada di rumah kira-kira jam 7.20 malam oleh ahli keluarga.

Menurut ibu saudaranya, Azean Irdawati Ramley, 44, sebelum kejadian, Hud berada dalam rumah dan diberi makan oleh ibunya sebelum wanita itu masuk ke dapur sebaik selesai menyuap nasi kepada anak tunggalnya itu.

“Kebetulan juga seorang saudara datang ke rumah dan ketika berbual, dia bertanyakan di mana Hud, selepas itu barulah kami menyedari Hud hilang.

“Ibunya mendapati pintu pagar rumah turut terbuka dan keadaan semakin kecoh dengan pencarian dibuat di sekitar parit di hadapan rumah serta hutan sekitar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azean Irdawati berkata, anak saudaranya itu baru saja boleh berjalan dan agak aktif malah memang suka bermain air dan disebabkan itulah pihaknya merasakan Hud menuju ke parit.

Katanya lagi, adiknya menetap di kampung lain tapi sering datang ke rumah ibunya di Kampung Aira untuk menjenguk.

“Kami sangat risaukan keadaan Hud lebih-lebih lagi ibunya kerana Hud adalah anak tunggal dan pencarian masih lagi dibuat sehingga kini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah, Mohd Zulkifli Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.02 malam tadi berhubung kehilangan kanak-kanak itu.

Beliau berkata, operasi pencarian terus dibuat malam tadi sekitar rumah termasuk kawasan hutan sekeliling terutama parit di hadapan rumah keluarga mangsa.

“Operasi disambung pagi ini dengan bantuan penduduk kampung dan kita juga meminta bantuan pasukan anjing pengesan (K9) dari ibu pejabat dan difahamkan ia dalam perjalanan ke sini (Kelantan),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini