comscore
Tumpuan :
Nasional

Pintu pagar balai polis ditutup selepas 10 malam

KUALA LUMPUR: Semua balai polis di seluruh negara diarah menutup pintu pagar premis itu selepas jam 10 malam, susulan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada 17 Mei lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia adalah antara arahan yang dikeluarkan dalam usaha memperketat keselamatan dan bersiap siaga atas sebarang kemungkinan pencerobohan atau tindakan luar jangka ke atas balai polis.

“Kita kena imbangi balai polis sebagai tempat rakyat mengadu dan pada masa sama, balai polis menjadi sasaran. Jadi, kita imbangkan antara dua keperluan itu.

“Insiden di Ulu Tiram misalnya, saat itu ada dua orang yang sudah pun berurusan dengan anggota polis dan ketika itu, serangan berlaku,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) mengenai langkah yang diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperketat keselamatan di balai polis selepas insiden di Balai Polis Ulu Tiram.

Dalam kejadian serangan pada 17 Julai, jam 2.45 pagi itu, tiga maut membabitkan dua anggota polis, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, serta suspek berusia 21 tahun, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan cedera ditembak.

Saifuddin berkata, PDRM memperketat semua Prosedur Operasi Standard (SOP) dalaman bagi mempertingkat kawalan keselamatan premis PDRM di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis, merangkumi Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) seperti kekerapan mengadakan rondaan di kawasan premis yang menjadi sasaran utama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini