Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Penggunaan kod QR di kaunter pelepasan membabitkan pintu sempadan Malaysia dan Singapura akan diperluaskan kepada mod pengangkutan yang lain secara berfasa bagi mengurangkan kesesakan di pintu masuk negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mod pengangkutan yang dilaksanakan ketika ini hanya melibatkan penumpang bas dan motosikal di dua pintu sempadan membabitkan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Iskandar Puteri, Johor.
“Mesyuarat juga bersetuju perluasan pengguna kod QR ini disemua mod pengangkutan dan pintu masuk lain akan dibuat secara berfasa.
“Sekarang kita buat untuk menumpang bas dan motosikal, selepas ini mod kenderaan lain.” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor, di ibu negara, siang tadi.
Mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof itu turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Saifuddin berkata, hasil ‘Proof Of Concept’ (POC) keberkesanan pemeriksaan imigresen menggunakan kod QR di pintu masuk yang dibentangkan dalam mesyuarat itu juga bersetuju untuk memuktamadkan proses perolehan penggunaan kod QR.
Selain itu, kerajaan juga sedang berbincang bersama kerajaan Singapura berkenaan cadangan Malaysia untuk melaksanakan ‘single entry point’ imigresen, selain menimbangkan kesesuaian untuk mengubah laluan komersial dari Woodlands ke Tuas.
Untuk rekod, Tambak Johor yang menghubungkan Singapura dan Malaysia merekodkan sebanyak 400,000 pengguna sehari, dan mampu mencecahkan hampir 600,000 sehari ketika musim cuti sekolah.
Daripada jumlah itu, pengembara bas dan motosikal merekodkan hampir 80 peratus daripada jumlah pengembara harian, manakala 20 peratus lagi merupakan kenderaan persendirian atau kenderaan perdagangan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.