comscore
Tumpuan :
Nasional

PINTA terima sumbangan dana RM2 juta untuk perkasa maahad tahfiz

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM2 juta diperuntuk kerajaan kepada Yayasan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) untuk memperkasa institusi maahad tahfiz di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dana itu adalah sebagai tanda sokongan kerajaan untuk usaha berkenaan.

“Pada masa ini terdapat 175,000 pelajar tahfiz daripada 1,199 maahad tahfiz berdaftar, manakala 125,000 pelajar tahfiz lagi di maahad tahfiz yang tidak berdaftar.

“Maahad tahfiz tidak berdaftar ini, yayasan (PINTA) akan bantu. Maahad tahfiz yang tidak berdaftar tidak dapat bantuan kerajaan kerana tidak penuhi syarat,” katanya berucap pada majlis Himpunan 23K Huffaz Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Yayasan PINTA dan Koperasi PINTA adalah dua institusi dilancarkan secara rasmi hari ini di bawah PINTA, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan kebajikan huffaz dan maahad tahfiz di seluruh negara.

Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya Pelan Tindakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0 dan Garis Panduan Pengurusan Institusi Tahfiz dilancarkan hari ini.

“Ia adalah kesinambungan kepada Pelan Tindakan DPTN 2016-2020. Proses pembangunan pelan ini diurus setiakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membabitkan pelbagai pihak antaranya Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN), agensi kerajaan dan persatuan tahfiz,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kementeriannya mengambil tiga maahad tahfiz angkat untuk dijadikan sebagai maahad tahfiz TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan jumlah itu akan ditingkatkan kepada 10 menjelang akhir tahun ini.

“Ia bertujuan melatih huffaz memiliki kemahiran elektrikal, membaiki motor, membaiki pendingin hawa bagi mendapatkan sijil, diploma dan ijazah,” katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Projek Khas Huffaz Profesional dipengerusikan beliau sendiri membabitkan pelbagai agensi termasuk Kementerian Pendidikan (KPM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) membangunkan tujuh modul yang signifikan bagi merealisasikan agenda melahirkan generasi huffaz profesional.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, peranan dan kedudukan al-Quran memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia Madani.

“Dimensi rohaniah dalam gagasan Madani memberi penekanan terhadap usaha pemerkasaan aspek nilai, akhlak, adab dan tatasusila budaya yang luhur dalam segenap aspek kehidupan masyarakat,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini