PUTRAJAYA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil tindakan undang-undang ke atas 12,178 peminjam dan penjamin pinjaman pelajaran sepanjang 2022.
Menurut Laporan Tahunan MARA 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, tindakan undang-undang itu merangkumi notis tuntutan, saman, penghakiman dan pelaksanaan penghakiman.
Selain itu, tindakan susulan ke seluruh negara bagi mengesan peminjam serta penjamin turut dilaksanakan.
“Tindakan undang-undang yang diambil sepanjang 2022 lebih tinggi daripada tindakan yang diambil pada 2021.
“MARA berjaya mendapatkan kutipan bayaran balik pinjaman pelajaran sebanyak RM8.7 juta berbanding kutipan bayaran balik pinjaman pelajaran bagi 2021 berjumlah RM6.7 juta,” menurut laporan terbabit.
Bagi pelaksanaan tindakan penguatkuasaan ke atas penerima kemudahan MARA, secara keseluruhannya ia meningkat sebanyak 16.5 peratus berbanding 2021.
Inisiatif itu berjaya menghasilkan kutipan berjumlah RM104.2 juta, iaitu 12.6 peratus sumbangan ke atas keseluruhan kutipan bayaran balik kemudahan MARA bagi tahun 2022.
Bagi pembangunan usahawan pula, MARA melaporkan peruntukan sebanyak RM22 juta disalurkan oleh kerajaan dengan seramai 10,134 usahawan mendapat faedah melalui pelaksanaan 1,642 aktiviti.
Dalam pada itu, prestasi Kumpulan MARA Corporation menunjukkan peningkatan pendapatan 384 peratus dengan sebanyak RM736.5 juta pada 2022 berbanding RM152.09 juta pada 2021.
Peningkatan itu menyumbang kepada pertambahan keuntungan selepas cukai dan zakat kumpulan sebanyak 229 peratus daripada RM55.67 juta pada tahun 2022 berbanding RM42,03 juta pada tahun 2021.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.