Tumpuan :
Nasional

Pinjaman Mara tak bayar, tapi peraga kemewahan – Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi meninjau reruai pelajar ketika Festival Keusahawanan Dan Kebudayaan MRSM Kebangsaan 2024. FOTO Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki

SEREMBAN: “Jangan pula ada masalah atau cari masalah untuk sengaja tak nak bayar pinjaman tetapi dalam masa sama memperagakan kemewahan, jadi ini saya rasa tidak adil bagi semua pihak,” kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau membidas tindakan sesetengah peminjam institusi itu yang dilihat sengaja tidak mahu membayar pinjaman tetapi memperagakan kemewahan.

Asyraf Wajdi berkata, Mara tidak pernah memilih bulu sebaliknya mengambil pendekatan berunding dan sentiasa bersikap ihsan kepada sesiapa yang bermasalah dalam melangsaikan hutang pinjaman.

“Saya tiada kuasa untuk melupuskan apa jua pinjaman. Kalau ada masalah datang jumpa (pihak Mara),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Asyraf Wajdi memberi reaksi itu selepas pendedahan media hari ini mengenai rumah pelakon terkenal, Rozita Che Wan, 51, atau lebih dikenali sebagai Che Ta di Kota Damansara, Petaling Jaya yang diserbu pegawai Mara susulan kegagalannya membayar pinjaman berjumlah RM1 juta.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Tren SCS Class 92 Projek Maintenance, Repair & Overhaul (MRO) dan Perjanjian Kolaborasi di antara M Rail Technics (Railtec) dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Asyraf Wajdi berkata, membawa kes itu ke peringkat perundangan dan mahkamah adalah tindakan terakhir yang harus diambil bagi memastikan setiap sen wang rakyat dipulangkan.

“Kita sedia berunding supaya penjadualan dan penstrukturan boleh dilakukan. Tiada caj atau kos tambahan dikenakan.

“Mara perlu mendapatkan kembali wang yang dikeluarkan untuk manfaat rakyat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini