comscore
Tumpuan :
Nasional

Pinjam kereta untuk hantar anak masuk universiti

BACHOK: Seorang bapa sanggup meminjam kereta saudara terdekat untuk menghantar anaknya mendaftar sebagai pelajar baru sesi 2023/2024 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), semalam.

Eron Binchar, 41, daripada suku kaum Temuan menghantar anak keduanya, Fida Adira a/p Eron dengan menempuh perjalanan sejauh 300 kilometer.

Mereka menempuh perjalanan hampir empat jam dari kampung Sungai Bot, Telemong, Karak, Pahang untuk ke UMK Kampus Bachok.

Eron berkata, dia meminjam kereta jenis Proton Saga milik saudaranya kerana tidak mahu anaknya ketinggalan ketika mendaftar program Pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW).

Katanya, dia dan anak serta isteri, Fatimah Ali, 49 bertolak sejak Sabtu malam bagi memudahkan mereka ke UMK.

“Saya tidak mahu anak ketinggalan masuk universiti kerana sebelum ini anak sulung juga pernah dapat tawaran universiti tapi tak dapat masuk kerana kami tak mampu biayai yuran pengajian.

“Saya hanya kerja kampung dan tiada pendapatan tetap, jadi dengan inisiatif laluan khas, anak dapat masuk universiti dan kami tak mahu ketinggalan hantar dia,” katanya.

Anaknya mendapat laluan khas oleh Bahagian Kemasukan UPU dan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK bagi golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Eron berkata, Fida begitu rajin dan cemerlang dalam pelajaran dan selepas mengambil Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM), dia memilih UMK untuk menyambung pengajian.

Seorang lagi pelajar Orang Asli, Shahrizan Layar, 20 berkata, dia meminati bidang animasi dan mengakui kesempitan hidup di pedalaman lebih mendorongnya untuk berjaya.

Kata anak penoreh getah dari Kampung Orang Asli Gebok, Mantin, Negeri Sembilan ini, dia mahu merebut peluang belajar di universiti untuk mengubah nasib keluarga.

“Kami tinggal di perkampungan dan dengan bantuan kenderaan milik agensi kerajaan datang hantar saya ke UMK.

“Saya berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh selepas lihat kegigihan ibubapa hantar kami ke sini,” katanya juga suku asli Temuan.

Pada pendaftaran semalam, UMK menerima 3,121 pelajar baru bagi sesi akademik 2023/2024.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini