KLANG: Sebahagian waris kubur Tanah Perkuburan Selat Klang di sini, kecewa apabila tidak dipanggil untuk sesi libat urus dan perbincangan bersama pihak berwajib bagi memaklumkan penggalian dan pemindahan semula kubur berkenaan.
Mereka mendakwa tidak dimaklumkan berhubung pemindahan tapak tanah perkuburan berkenaan bagi memberi laluan kepada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Pekerja swasta, Ida O’hara Ismail Azman, 48, berkata, sebelum ini hanya sebahagian waris dipanggil untuk menyertai taklimat berhubung pemindahan kubur terbabit.
“Pada 15 April lalu hanya sebahagian dari kami yang menerima jemputan menerusi aplikasi WhatsApp, ia dibuat dengan surat berformat ‘pdf’ tanpa penama kepada waris.
“Ketika menyertai taklimat di Dewan Hamzah Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pada 21 April lalu pelbagai persoalan ditimbulkan namun pihak penganjur menamatkan sesi terbabit,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, pihaknya difahamkan sebanyak 90 kubur di tanah perkuburan berkenaan terbabit dalam penggalian dan pemindahan terbabit.
“Namun ketika taklimat tidak sampai 30 waris yang hadir kerana selebihnya tidak dimaklumkan berhubung pemindahan kubur itu.
“Semalam mereka sudah menutup kawasan kubur dengan zink dan sehingga kini kami tidak menerima sebarang makkumat daripada mana-mana pihak berhubung penggalian semula dan pemindahan kubur,” katanya.
Seorang lagi waris, Hazlina Hasbullah, 48, berkata, seramai 16 waris kubur sudah membuat laporan polis berhubung isu itu semalam.
“Lebih kecewa apabila kubur ini masih baru, kebanyakan dikebumikan pada 2022 dan ada yang tidak sampai dua tahun dikebumikan di tanah perkuburan ini.
“Berdasarkan fatwa yang dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Selangor pada 1986 adalah haram mengalihkan kubur yang jasadnya belum reput, adakah pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak merujuk kepads fatwa yang dikeluarkan ini,” katanya.
Hazlina berkata, dia tidak menerima sebarang notis, surat mahupun panggilan daripada mana-mana pihak bagi melakukan perbincangan mengenai pemindahan kubur berkenaan.
“Saya antara waris yang tidak menerima sebarang pemakluman, kalau kata tidak boleh cari waris, sudah jelas nama saya berada di senarai MBDK sebagai waris kubur itu.
“Kenapa perkara ini perlu dilakukan secara tergesa-gesa tanpa sebarang persetujuan daripada waris?,” katanya.
Menurutnya, waris dimaklumkan kerja penggalian dan pemindahan akan dijalankan bermula 1 Mei ini.
“Bayangkan hanya beberapa hari lagi tetapi waris tidak dimaklumkan, buatlah secara beradab walaupun individu yang di dalam kubur sudah meninggal dunia tetapi mereka ada waris.
“Justeru itu, kami memohon campur tangan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) yang sebelum ini berjanji untuk membela nasib rakyat,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.