KUCHING: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) mengenai wakil Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Mei ini.
Pindaan RUU itu bagi memastikan pelantikan wakil dari kedua-dua negeri itu dalam Ahli Lembaga Pengarah LHDN sah dari segi perundangan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kemasukan wakil dari Sabah dan Sarawak dalam LHDN sudah pun dilaksanakan seperti yang dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjiian Malaysia (MTPMA-63).
Bagaimanapun, perkara itu masih belum dilaksanakan daripada aspek perundangan kerana ia memerlukan pindaan terhadap akta LHDN sedia ada.
“Bila dilantik melalui surat boleh dibatalkan sebab itu kita mahu termaktup dalam undang-undang kerana kalau dah undang-undang bermakna mereka (LHDN) tak ada pilihan selain kena melantik wakil Sabah dan Sarawak dalam Ahli Lembaga Pengarah itu.
“Jadi ianya bukan lagi aspek pentadbiran sahaja tetapi mempunyai peruntukan undang-undang yang menetapkan mesti ada wakil daripada Sarawak dan wakil daripada Sabah dalam Ahli Lembaga Pengarah terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika menghadiri Program Santai Moreh bersama Pemuda Parti Persaka Bumiputera Bersatu (PBB) Petra Jaya di Kuching.
Menurut Fadillah, Mesyuarat MTPMA-63 juga turut membincangkan usaha untuk memuktamadkan mekanisma penyerahan tanah yang telah diberikan kepada kerajaan persekutuan kembali semula kepada kerajaan Negeri jika ia tidak dibangunkan selepas lima tahun.
Jelasnya, sebanyak tiga bidang tanah di Sarawak dan dua bidang lagi di Sabah telah dikenalpasti untuk dikembalikan semula kepada kerajaan negeri terbabit.
Bagaimanapun, perbincangan mengenai mekanisma bersesuaian perlu dimuktamadkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sebelum tanah-tanah terbabit dikembalikan kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.