comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pindaan RUU kerakyatan anak wanita Malaysia lahir luar negara dibentang Jun

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR: Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak kepada wanita rakyat Malaysia yang dilahirkan di luar negara mendapat kerakyatan secara automatik di sini, dijangka dibentangkan di Parlimen Jun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pindaan itu tidak dapat dibentangkan pada persidangan kali ini berikutan terdapat beberapa isu perlu dibincangkan lebih lanjut terutama membabitkan dua kerakyatan.

“Kita harap ia dapat dibentangkan pada persidangan Jun ini. Jawatankuasa Kabinet berhubung isu kewarganegaraan sudah dibentuk dan kini sedang membincangkan isu ini sebagai persediaan untuk persidangan akan datang,” katanya seperti dilaporkan sebuah portal, di sini.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada Rang Undang-Undang (RUU) itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat Penggal Kedua Parlimen ke-15 yang dijangka berlangsung 12 hingga 27 Jun atau mesyuarat ketiga yang akan berlangsung dari 9 Oktober hingga 30 November.

Ditanya sama ada RUU itu sedia dibentangkan atau masih digubal di peringkat Jabatan Peguam Negara, Azalina bagaimanapun berkata, ia sudah sedia dalam dua bahasa, namun beberapa isu berhubung pelaksanaannya masih diselesaikan.

Pada masa sama, Azalina mengesahkan perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan untuk RUU ini yang mencadangkan untuk membuat perubahan kepada peruntukan kewarganegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ya, ia diperlukan berdasarkan Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan akan membawanya ke Majlis Raja-Raja selepas memuktamadkan penyelesaian dalam isu pelaksanaan,” katanya.

Azalina berkata, ia sekali gus bermakna Jawatankuasa Kabinet akan memuktamadkan isu berkaitan RUU itu, antaranya membabitkan bagaimana undang-undang kewarganegaraan yang dipinda akan dilaksanakan.

Katanya, kerajaan kemudiannya dijangka membentangkan RUU yang dimuktamadkan kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapat persetujuan, sebelum akhirnya dibawa ke Parlimen sebaik mendapat persetujuan Diraja.

RUU itu kemudiannya perlu diundi di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta perlu juga menerima perkenan Diraja dan diwartakan sebelum pindaan dirancang untuk membolehkan kerakyatan automatik bagi anak kepada wanita rakyat Malaysia yang dilahirkan di luar negara boleh berkuatkuasa sebagai undang-undang.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju memberikan kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga negara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warga negara.

Keputusan dibuat pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Februari lalu setelah meneliti dan bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan terhadap Bahagian I Seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II, Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua.

Perkara itu diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Azalina melalui satu kenyataan bersama.

Loading...
Terkini