Tumpuan :
Nasional

Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat bakal dibentang Mac atau April

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengadakan sidang media mengenai kejayaan SPRM di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. FOTO NSTP

PUTRAJAYA: Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dijangka dibentangkan kerajaan pada Mac atau April depan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata perkara itu bagaimanapun tertakluk kepada keputusan kerajaan.

“Ini komitmen kami sebagai peneraju Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) bagi memastikan pelaksanaan tadbir urus yang baik dalam perkhidmatan awam dapat dilaksanakan secepat mungkin sebelum berakhir NACS pada 2028,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Azam berkata, mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat, ia bakal dimuktamadkan pada suku kedua tahun ini sebelum dibentangkan di Parlimen pada Julai ini.

Sementara RUU Sumbangan Politik dijangka dibentangkan tahun depan.

Media sebelum ini melaporkan pindaan Akta 711 dijangka memperkukuhkan perlindungan terhadap pemberi maklumat dan memastikan undang-undang yang lebih berkesan dalam membanteras salah laku serta ketirisan.

RUU Kebebasan Maklumat pula bertujuan meningkatkan ketelusan dalam perkhidmatan awam dan memastikan hak individu untuk mengakses maklumat yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan terjamin serta terpelihara di sisi undang-undang.

Bagi RUU Sumbangan Politik, dilaporkan parameter dasar baharu RUU itu berada dalam pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Dewan Rakyat dan belum dimuktamadkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, sesi libat urus dengan pihak berkepentingan akan diadakan selepas parameter dan dasar RUU Sumbangan Politik dimuktamadkan oleh JKPK sebelum ia dibentangkan di Kabinet.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini