Oleh: Farah Nabilah Wazer
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyifatkan pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) sebagai satu langkah yang membuka lebih banyak ruang kepada mahasiswa untuk menyuarakan pandangan mereka.
Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Haykal Halid menegaskan bahawa pemahaman mengenai objektif perhimpunan adalah aspek utama yang perlu diberikan perhatian.
Bagaimanapun, katanya, kebebasan itu harus disertai dengan rasa tanggungjawab dan sikap profesional selagi tidak melanggar tatasusila serta undang-undang negara.
“Disiplin dalam menyampaikan pandangan serta keupayaan mengelakkan provokasi yang menjejaskan keharmonian amat penting. Dengan pindaan ini, mahasiswa juga diberi ruang yang lebih luas untuk menyuarakan pandangan mereka, namun tanggungjawab mereka juga meningkat,” katanya.
Tambahnya, demonstrasi bukan sekadar medium untuk meluahkan ketidakpuasan hati, tetapi juga platform bagi mahasiswa menampilkan kematangan dalam berdebat, berunding dan mengartikulasikan isu dengan bernas.
Pada Khamis, kerajaan dilaporkan bersetuju untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) bagi memudahkan dan membantu pelaksanaan keputusan badan atau kumpulan yang ingin mengadakan perhimpunan aman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keperluan mendapatkan kelulusan lokasi seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 11 Akta 736 akan dipinda dan diketepikan.
Rang Undang-Undang pindaan Akta 736 itu dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan akan datang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.