Tumpuan :
Nasional

Pindaan Akta Komunikasi akan dibentang di Parlimen Isnin ini

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (tengah) melakukan gimik perasmian di Majlis Perasmian Penutupan Karnival Komunikasi di IWK Eco Park, Pantai Dalam. FOTO NSTP

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bacaan kali pertama akan dibentangkan di Parlimen, Isnin ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata fokus yang akan diberikan adalah untuk memperkemas skop dan penggunaan akta berkenaan.

Jelasnya, ia juga bagi memastikan akta tersebut tidak disalah guna selain memperkukuh keselamatan dalam talian.

“(Akta berkenaan) Insya-Allah yang akan memberi takrifan kepada buli siber termasuk jenayah seperti ‘doxing’ juga nanti insya-Allah kita akan bawa pindaan kepada Akta Komunikasi untuk memberi beberapa penambahbaikan kepada akta termasuk untuk media sosial.

“Kita juga akan melihat isu industri, pembangunan industri dan keselamatan rangkaian dan inysa-Allah ke depan akan ada satu lagi Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian yang akan dibawa.

“Semua usaha dan inisiatif ini adalah untuk memastikan internet lebih selamat terutama untuk kanak-kanak dan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Komunikasi 2024 di IWK Eco Park, Pantai Dalam di sini hari ini.

Program yang berlangsung selama dua hari itu antara insiatif Kementerian Komunikasi bagi meningkatkan literasi komunikasi dalam kalangan masyarakat menerusi pendidikan komuniti seperti isu scam serta penyalahgunaan talian kecemasan 999.

Turut diadakan, percetakan setem oleh Pos Malaysia, Jualan Rahmah dan kaunter bayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penawaran pakej daripada syarikat telekomunikasi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini