comscore
Tumpuan :
Nasional

Pindaan Akta Audit pertingkat keupayaan Jabatan Audit – MOF

(Tengah) Lim Hui Ying di Persidangan Kebangsaan Institut Juruaudit Dalaman 2024, hari ini.

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Audit 1957 dapat memperluas bidang kuasa dan keupayaan pemantauan Jabatan Audit Negara (JAN).

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying. berkata langkah ini memberikan perhatian lebih mendalam tentang perbelanjaan awam dan memastikan kepercayaan orang ramai terhadap institusi kerajaan kekal kukuh.

Julai lalu, Akta Audit 1957 dipinda selepas 33 tahun, selepas Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 diluluskan di Dewan Rakyat.

“Kerajaan komited untuk meningkatkan tahap standard tadbir urus. Jabatan Audit Negara, di bawah kepimpinan Datuk Wan Suraya, telah memulakan projek transformatif yang menekankan kepentingan pendigitalan, pengauditan berasaskan risiko dan tadbir urus kolaboratif.

“Pelaksanaan analitik dan papan pemuka audit yang canggih memastikan kami bukan sahaja peka tetapi proaktif dalam mengenal pasti risiko dan memastikan setiap ringgit wang pembayar cukai diambil kira,” katanya di Persidangan Kebangsaan Institut Juruaudit Dalaman 2024, hari ini.

Tambah beliau, masa depan tadbir urus terletak pada kerjasama antara badan kerajaan, organisasi swasta dan profesional audit.

“Semua pihak perlu bekerjasama untuk membina model tadbir urus yang boleh diadaptasi, bertanggungjawab dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Dengan menyepadukan prinsip kemampanan, memanfaatkan teknologi dan memupuk ketelusan, negara boleh mencipta rangka kerja tadbir urus yang bukan sahaja memenuhi keperluan semasa tetapi juga untuk generasi akan datang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini