Tumpuan :
Nasional

Pindaan Akta 342 tidak sama seperti SOSMA – KKM

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menafikan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sama seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sebaliknya, beliau berkata, Akta 342 hanya boleh digunakan secara khusus bagi tujuan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.

Malah tegasnya, tugas, fungsi dan kuasa Pegawai Diberi Kuasa (PDK) Kementerian Kesihatan (KKM) bukan untuk menangkap orang yang dijangkiti atau disyaki dijangkiti penyakit berjangkit tetapi terhad kepada menyiasat serta mendapatkan maklumat individu berkenaan.

“Ini satu silap faham dan salah tanggap yang dipanjangkan sehingga ada yang mengatakan bahawa KKM ataupun PDK itu punya kuasa untuk menangkap.

“Kita anggap mereka ini adalah pesakit yang mesti diberikan perlindungan, diberi kuarantin ataupun diisolasi dan yang paling penting juga untuk mendapatkan maklumat perjalanannya dan kontak rapat yang perlu dikenal pasti segera bagi membatasi perjangkitan itu,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dilapor telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantah pindaan Akta 342 kerana didakwa menyamai SOSMA.

Penasihatnya, Datuk Asri Yusoff berkata, antara seksyen baharu dalam akta itu memberi kuasa kepada pegawai KKM menahan seseorang yang dituduh bersalah tanpa perlu bicara di mahkamah serta dibenarkan menggunakan kekerasan.

Semalam, Dewan Negara sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Akta 342, setelah diluluskan di Dewan Rakyat pada 14 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, PDK masih boleh memohon bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (JIM) dan mana-mana agensi kerajaan lain bagi membolehkan pelaksanaan aktiviti pengawalan serta pencegahan penyakit berjangkit di bawah Seksyen 5 akta tersebut.

“Berkenaan kuasa-penguatkuasaan yang dikatakan terlalu luas, istilah ‘kekerasan yang perlu’ telah pun sedia ada di dalam Akta 342 di bawah Subseksyen 11(4) dan Subseksyen 15(2). Bagi pindaan RUU Akta 342 ini, penambahan istilah ‘kekerasan yang perlu’ adalah di dalam Seksyen 14A.

“‘Kekerasan yang perlu’ ini merujuk kepada dorongan dalam bentuk kata-kata bagi memastikan arahannya dipatuhi dan tidak bermaksud memukul, memaksa atau menahan seseorang individu secara fizikal serta tidak bercanggah dengan hak asasi seseorang seperti mana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tambahnya, PDK turut dibekalkan kamera badan ketika penguatkuasaan dijalankan untuk memastikan aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan secara profesional dan berintegriti.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini