Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki & Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Tiada masalah bagi meminda akta lompat parti untuk memperbaiki kelompangan yang terdapat dalam undang-undang berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata jika diarahkan oleh kabinet beliau sedia sedia berbuat demikian.
“Itu kena bawa ke kabinet, kalau hendak buat pindaan pada saya sebagai Menteri jaga undang-undang tiada masalah.
“Memang kerja saya datang Parlimen buat pindaan undang-undang untuk buat undang-undang baru, takda masalah jika hendak buat pindaan.”
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program taklimat bersama Ahli Dewan Rakyat mengenai rang undang-undang timbang tara pindaan 2024 di parlimen ibu negara di sini, hari ini.
“Kalau Perdana Menteri mengarahkan saya dalam mesyuarat kabinet membawa nota dari segi dasar baru tidak ada masalah, saya bersedia,” katanya.
Media sebelum ini pada 12 Julai lalu melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia berbincang bagi meminda akta terbabit.
Pada 20 Jun lalu, BERSATU mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta supaya enam kerusi Parlimen diwakili wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikosongkan.
Notis itu dikemukakan berdasarkan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan, iaitu seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli dewan dan kerusinya menjadi kosong apabila tidak lagi menjadi anggota parti politik.
Bagaimanapun, Johari dalam keputusannya menolak permohonan BERSATU bagi mengosongkan enam kerusi Parlimen berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa