KUALA LUMPUR: Penambahbaikan Akta Kanak-Kanak 2001 melalui pindaan undang-undang lebih tegas dan komprehensif, antara usaha direncanakan kerajaan untuk meningkatkan lagi penguatkuasaan bagi mengekang berulangnya kes seperti GISB Holdings (GISBH) dan Abang Bas dalam TikTok.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata penambahbaikan itu antara lain bertujuan untuk menutup sebarang kelemahan undang-undang dan memastikan perlindungan lebih luas bagi kanak-kanak daripada pelbagai bentuk penderaan.
Katanya, usaha itu turut mencakupi langkah bagi memberi perlindungan kepada kanak-kanak berkaitan teknologi dan dunia siber.
“Peruntukan berkaitan hukuman juga akan diperketatkan, terutama terhadap penjaga yang bertanggungjawab atas pengabaian atau penderaan fizikal, emosi atau seksual terhadap kanak-kanak,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen semalam.
Beliau menjawab pertanyaan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang meminta kementerian itu menyatakan pelan untuk meningkatkan penguatkuasan Akta Kanak-Kanak 2001 supaya kes seperti GISBH dan Abang Bas dalam TikTok tidak akan berlaku lagi.
Selain itu, Saifuddin berkata, kerajaan bercadang menubuhkan lebih banyak Mahkamah Khas Kanak-Kanak, termasuk memperluaskan lagi penubuhan Mahkamah Khas Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak.
Mahkamah khas itu direka untuk menangani kes jenayah terhadap kanak-kanak secara lebih sensitif dan mesra kanak-kanak, serta mempercepatkan proses perbicaraan.
“Mahkamah ini akan membantu mempercepatkan tindakan undang-undang terhadap pesalah, memastikan keadilan dilaksanakan dengan segera serta mengurangkan trauma dialami mangsa kanak-kanak dalam proses perbicaraan,” katanya.
Pada sama sama, Saifuddin berkata, kerajaan juga memantapkan aspek penguatkuasaan di peringkat tempatan kerajaan menerusi pemerkasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katanya, lebih ramai pegawai terlatih dalam mengenal pasti tanda-tanda awal penderaan kanak-kanak, khususnya dalam institusi seperti rumah perlindungan dan sekolah.
Setiap institusi juga jelasnya, perlu memastikan terdapat pegawai perlindungan kanak-kanak yang bertanggungjawab untuk memantau dan melaporkan sebarang kes penderaan atau pengabaian golongan itu.
“Peningkatan pemantauan oleh agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JKM terhadap institusi yang menjaga kanak-kanak juga akan dipertingkatkan melalui lawatan berkala dan penyiasatan lebih teliti.
“Melalui sistem pelaporan yang lebih mudah dan segera, tindakan awal dapat diambil bagi melindungi kanak-kanak yang disyaki mengalami penderaan atau pengabaian. Pelaksanaan Polisi Perlindungan Kanak-Kanak di institusi pendidikan dan Jagaan Polisi Perlindungan Kanak-Kanak di sekolah, tadika, rumah perlindungan, dan pusat jagaan kanak-kanak akan diperketatkan.
“Ini termasuk latihan kepada guru, kakitangan pusat jagaan, dan penjaga tentang cara mengenal pasti dan menangani kes-kes penderaan atau keganasan terhadap kanak-kanak. Setiap institusi perlu memastikan terdapat pegawai perlindungan kanak-kanak yang bertanggungjawab untuk memantau dan melaporkan sebarang kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.