comscore
Tumpuan :
Nasional

Dapat lesen memandu dengan satu ujian teori memanfaatkan orang ramai – PIMA 

 

Foto hiasan

Oleh: Izzatie Rizan

PETALING JAYA: Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA) menyokong pelaksanaan peraturan baharu mendapatkan lesen kereta atau motosikal yang memerlukan calon menduduki satu ujian teori sahaja berkuat kuasa 15 September ini.

Presidennya Mat Aris Bakar berkata peraturan ini dijangka memanfaatkan orang ramai kerana mereka tidak perlu lagi menduduki satu lagi kelas enam jam untuk dapatkan lesen lain.

“Untuk setakat ini kita sokong, tiada masalah sebab sebenarnya mana-mana dunia pun, ujian teori ini sekali sahaja.

“Maknanya ujian teori atau “highway code” apa kelas orang memandu di jalan raya dia memang sama, No entry, berhenti, had laju, bahaya dan sebagainya semua sama.

“Saya masih menunggu arahan rasmi yang lengkap daripada bahagian lesen memandu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung bagaimana pelaksanaan ko-kurikulum kelas teori itu sendiri dan juga prosedur keseluruhan nak ambil lesen yang terbaharu,” katanya kepada Buletin TV3.

Meskipun begitu, Mat Aris berkata beliau berharap pemansuhan berkenaan hanya melibatkan ujian teori sahaja bukan bagi kelas teori.

“Mungkin kelas teori itu diajar, cuma dia tak melibatkan ujian teori sebab lazimnya peruntukan 6 jam untuk ujian.

“Kita harap macam kelas vokasional, dia hanya mansuhkan ujian, tetapi pelaksanaan kelas teori ini wajib, bermakna kerajaan dan semua pihak ambil berat dengan pengetahuan yang perlu kita bekalkan kepada pengguna jalan raya.

“Ini juga mungkin diberikan peluang kita mengajar sedikit asas supaya tips-tip ini boleh membantu mereka mengelakkan kemalangan dan lebih selamat di jalan raya,” jelasnya.

Berkuat kuasa 15 September, mana-mana individu yang pada masa ini mempunyai sama ada Lesen Memandu Malaysia kelas motosikal atau motokar dan berhasratkan Lesen Memandu Malaysia dalam kelas yang berbeza, dikecualikan daripada menghadiri Kursus KPP01 dan Ujian Teori KPP01.

Bagaimanapun calon masih wajib menjalani latihan dan menduduki ujian praktikal di Litar (KPP02) dan Praktikal di Jalan Raya (KPP03) secara berasingan apabila mengambil Lesen Memandu Malaysia motosikal dan motokar.

Loading...
Terkini