Tumpuan :
Nasional

Pikap dihempap kayu balak, wanita sarat mengandung terima rawatan

Sepasang suami isteri menempuh detik cemas apabila kenderaan dinaiki dihempap kayu balak yang jatuh dari sebuah lori di Jalan Merotai-Kalabakan.

TAWAU: Sepasang suami isteri menempuh detik cemas apabila kenderaan dinaiki dihempap kayu balak yang jatuh dari sebuah lori di Jalan Merotai-Kalabakan, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, pikap jenis Toyota Hilux dinaiki pasangan itu termasuk wanita sarat mengandung, mengalami kerosakan teruk.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 5.30 petang.

Katanya, kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan balak dipandu lelaki berumur 38 tahun dari arah jalan Kalabakan-Merotai menuju Log-Pond, manakala pasangan suami isteri masing-masing berumur 35 dan 31 tahun dari arah pusat bandar menuju ke Luasong.

“Sebatang kayu balak tiba-tiba terjatuh dari muatan lori dari arah bertentangan dan menghempap hadapan pikap terbabit.

“Kejadian menyebabkan bahagian hadapan pikap rosak teruk,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Jasmin berkata, pemandu lori dan pemandu Hilux tidak mengalami kecederaan.

“Bagaimanapun, isteri pemandu Hilux yang sarat mengandung menerima rawatan di zon kuning Hospital Tawau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987 kerana memandu tanpa kecermatan hingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

Rakaman video berdurasi satu minit yang dikongsi seorang pengguna jalan raya memaparkan kejadian itu yang mengakibatkan kesesakan jalan raya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini