comscore
Tumpuan :
Nasional

Pihak sorok beras akan diheret ke muka pengadilan – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani di Dataran Simpang Pelangai, malam tadi. – Foto: NSTP

BENTONG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan amaran  tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang mengambil kesempatan  menyorok stok beras putih tempatan (BPT).

Tegasnya, kerajaan akan mengheret pihak berkenaan ke muka pengadilan sekiranya didapati melakukan tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Beliau mengaku memang ada pihak yang sanggup bertindak sedemikian di tengah-tengah kekurangan stok bahan mentah dalam pasaran negara, demi mengaut keuntungan.

”Kemudian ada juga dalam kalangan yang salah guna, sorok, simpan… saya beritahu kepada saudara Mat Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu), arahan yang jelas kepada badan penguat kuasa. Kalau ada yang berani buat perangai buruk dalam keadaan orang susah mencari beras, kamu sorok… kamu jaga.

“Kami akan cari kamu dan sama ada bawa kamu ke mahkamah… tengah orang susah, masa itu kamu nak cari untung,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani di Dataran Simpang Pelangai, di sini, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), dan Mohamad yang juga Presiden AMANAH.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, kerajaan sentiasa berusaha menyelesaikan isu beras tetapi mengakui ia memerlukan sedikit masa.

“Kita cuba tetapi apakah boleh selesai 100 peratus? Tidak, beras ini isu, masalah berat… jadi saya kata beri masa seminggu tengok keadaan dia. Kalau tak selesai lagi, kita bincang semula sebelum pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober ini,” katanya.

Perdana Menteri memaklumkan isu beras turut berlaku di negara lain, termasuk harganya terpaksa dinaikkan berikutan negara pembekal telah memberhenti atau mengurangkan eksport beras mereka.

Loading...
Terkini