JEMPOL: Sebuah keluarga mendakwa ditipu syarikat katering sehingga kerugian RM13,000 dan terpaksa memasak sendiri juadah untuk dijamu kepada tetamu yang hadir.
Abang kepada pengantin perempuan, Burhanuddin Rabbani Abdul Shukor, 31, tidak menyangka majlis perkahwinan adik ketujuhnya yang sepatutnya berlangsung meriah bertukar ‘mimpi ngeri,’ apabila pihak katering tidak muncul.
Menerusi hantaran di Facebooknya Burhanuddin yang juga mewakili keluarganya tampil memohon maaf kepada tetamu yang hadir kerana mereka terpaksa menjamu juadah seadanya.
Beliau berkata, selepas majlis akad nikah adiknya, dia ke dewan majlis untuk melihat persiapan, namun hanya ada pelamin sahaja, tiada meja dan kerusi untuk tetamu.
“Untuk makluman semua, kami telah menjadi mangsa penipuan syarikat katering yang ditempah oleh adik kami tidak hadir, banyak kali kami cuba hubungi namun tiada maklum balas, jumlah keseluruhan tempahan yang dah dibuat untuk 1000 tetamu.
“Sehingga jam 9 malam sebelum majlis berlangsung, kami masih menunggu namun hampa sebelum kami sembilan beradik mengambil keputusan untuk masak sendiri.
“Namun kami hanya mampu siapkan juadah dalam anggaran untuk 400 tetamu itupun sekadar lauk ayam gulai, sambal belacan, buah dan ulam-ulaman,” katanya.
Susulan kejadian, mereka sekeluarga berpecah beberapa kumpulan bagi mencari set meja, kerusi, periuk besar dan barang-barang untuk memasak lauk majlis perkahwinan itu.
Luahnya, meskipun hanya menyediakan sejenis lauk sahaja, namun tetamu yang hadir bermurah hati memberikan kuih muih dan juadah sampingan yang lain.
Dalam hantaran hari ini, beliau juga memberi peringatan kepada orang ramai untuk meletakkan Allah SWT sebagai tempat bergantung jika ditimpa masalah atau ujian selain bersangka baik dengan takdir.
“Pesan saya, jika berlaku apa-apa musibah atau ujian, letaklah Allah yang pertama. Bukan masanya untuk menuding jari mencari salah siapa, tapi duduk bermusyawarah mencari jalan penyelesaian.
“Harungi ujian dan dugaan dengan sebaiknya, bersangka baik dengan takdir yang telah direncana olehNya untuk kita. InsyaAllah, Allah mudahkan semuanya.
Burhanuddin juga memaklumkan laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Bandar Seri Jempol semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook mengesahkan laporan polis yang dibuat ahli keluarga pengantin berkenaan.
Katanya, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan selain mendapati syarikat katering berkenaan wujud.