comscore
Tumpuan :
Nasional

PIBGN gesa RUU Kawalan Produk Merokok dibentang segera

Foto hiasan

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

PETALING JAYA : Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menggesa Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dibentang dan diluluskan segera.

Presiden PIBGN, Datuk Mohamad Ali Hasan

Presidennya, Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, sebarang tindakan menangguhkan RUU itu menimbulkan kebimbangan kerana tabiat merokok terutama penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan murid semakin kritikal.

“Kita boleh lihat lambakan rokok elektronik dijual di pasaran terbuka yang menarik perhatian murid sekolah khususnya.

“Sekiranya tiada undang-undang untuk mengawal maka situasi ini menjadi lebih berleluasa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022,  penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja meningkat daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus pada 2022.

“Tanpa adanya peruntukan GEG dan kawalan terhadap produk itu, pintu kepada penagihan dadah akan terbuka luas dan kebanyakan penagih dadah bermula dari tabiat merokok dan vape,” ujarnya.

Mohamad Ali  menegaskan kerajaan perlu mempunyai iltizam yang kuat bukan sekadar menoktahkan kemiskinan tetapi juga penghisap rokok dan vape yang baharu.

PIBGN turut menggesa  Kementerian Pendidikan (KPM) lebih serius membantu murid yang terjebak dalam tabiat merokok serta vape dan bukan hanya menekankan hukuman terhadap mereka.

RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dijadual dibentang semula ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan semalam ditangguhkan.

Bagaimanapun, RUU yang berada di peringkat bacaan kedua itu masih terkandung dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat yang bersidang bermula semalam hingga 30 November depan.

Loading...
Terkini