Tumpuan :
Nasional

Piagam pelanggan baharu bakal jadikan SPRM bertaraf dunia

Tan Sri Azam Baki.- Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan piagam pelanggan baharu hari ini, dalam usaha menjadikan agensi itu antara terbaik dunia, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata, pembaharuan itu dilaksanakan selaras dengan peredaran zaman dan keperluan semasa.

Katanya, kali terakhir piagam pelanggan berkenaan diperbaharui adalah pada 2015 yang digunakan hampir 10 tahun hingga 2024.

“Objektif penambahbaikan piagam pelanggan bertujuan menjadikan SPRM sebuah agensi pencegahan rasuah yang unggul di dunia dan memastikan perkhidmatan sentiasa memenuhi harapan tinggi rakyat.

“Penambahbaikan ini adalah komitmen dan jaminan SPRM kepada pelanggan serta pemegang taruh bahawa penyampaian perkhidmatan akan mematuhi piawaian kualiti ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azam berkata, tujuh perkara ditambah baik menerusi piagam pelanggan baharu berkenaan antaranya tindakan dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima.

Selain itu katanya, pengadu boleh mengetahui perkembangan aduan dibuat dalam tempoh 28 hari bekerja dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan berlandaskan undang-undang semasa.

SPRM juga akan memuatnaik butiran pesalah dalam Pangkalan Data Pesalah Rasuah dalam tempoh 14 hari bekerja selepas tarikh sabitan oleh mahkamah.

“Keputusan tapisan keutuhan melalui sistem tapisan keutuhan (e-STK) akan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari dan memberi maklum balas ke atas permohonan program pendidikan antirasuah yang diterima dalam tempoh lima hari bekerja;

“Yang terakhir, SPRM akan memberi maklum balas ke atas permohonan program domestik dan antarabangsa dalam tempoh tujuh hari bekerja,” katanya.

Pada masa sama, Azam mengumumkan tiga hala tuju dan strategi utama selaras Pelan Strategik SPRM 2021-2025 yang difokuskan bagi Pencapaian Negara Bebas Rasuah.

Tiga hala tuju terbabit ialah pemerkasaan penguatkuasaan berkesan (sektor operasi), pencegahan rasuah yang menyeluruh (sektor pencegahan) dan pembudayaan integriti (sektor pengurusan).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini