comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Phone scam’ didalangi tujuh lelaki Jepun tumpas

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf pada sidang media mengenai jenayah penipuan dalam talian yang semakin meningkat, di Ibu Pejabat JSJK di Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Tujuh lelaki warga Jepun yang disyaki mendalangi sindiket penipuan melalui panggilan telefon atau ‘phone scam’ ditahan dalam serbuan di sebuah unit kediaman di ibu negara, minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata mereka yang diberkas berusia antara 23 hingga 41 tahun.

Katanya, serbuan dilakukan susulan laporan pihak kedutaan Jepun berhubung aduan seorang warga Jepun yang ditipu untuk bekerja sebagai ‘scammer’ di Malaysia, pada 13 November lalu.

“Hasil siasatan, sindiket ini didapati menjalankan kegiatan ‘phone scam’ yang menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Jepun dengan menggunakan aplikasi ‘Skype’ untuk menghubungi mangsa.

“Modus operandi yang digunakan sama seperti mana sindiket ‘phone scam’ yang lain iaitu dengan menyamar sebagai pegawai bank.

“Mangsa kemudian dimaklumkan bahawa akaun bank mereka mengalami masalah dan untuk menyelesaikan masalah itu, mangsa akan diminta membuat sejumlah bayaran ke akaun bank yang diberikan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 11 telefon bimbit, satu modem dan satu plastik hitam mengandungi beberapa barangan elektronik yang tidak sempurna, sebatang tukul besi dan satu rangkai anak kunci.

Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga semalam  mengikut Akta Imigresen 1959.

Kes disiasat mengikut Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 420 dan Seksyen 511 akta sama.

“Walaupun kes phone scam membabitkan warga Jepun jarang didengari, namun ianya berlaku. Hal ini menunjukkan betapa sindiket ini sentiasa mempelbagaikan kaedah penipuan yang digunakan.

”Oleh yang demikian, dinasihatkan supaya masyarakat sentiasa cakna dengan modus operandi terkini penipuan tidak terjerumus ke dalam perangkap mereka,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini