SEREMBAN: 70 inisiatif ditawarkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam manifesto gabungan ini untuk rakyat di Negeri Sembilan jika diberi peluang mentadbir sekali lagi.
10 teras utama yang digariskan antaranya adalah melibatkan pendidikan dan modal insan, kesejahteraan rakyat serta pertanian di samping tanah serta perumahan.
Manifesto yang dikenali sebagai Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan itu diumumkan oleh Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Katanya, antara inisiatif yang ditawarkan kepada rakyat adalah bantuan perkahwinan RM500 kepada setiap seorang anak negeri yang mendirikan rumah tangga untuk kali pertama.
Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, bagi kelahiran bermula tahun 2023-2027, mereka akan ditawarkan Caruman Skim Simpanan Pendidikan Nasional sebanyak RM100.
Beliau berkata, gabungan itu juga menawarkan untuk menyediakan 4,000 unit rumah harga mampu milik dalam masa lima tahun.
Selain itu katanya, turut ditawarkan adalah memberi lesen penjaja secara percuma untuk tempoh lima tahun.
“Kita juga akan memberikan baucar sebanyak RM150 kepada anak muda daripada keluarga B40 berusia di antara 16 hingga 21 tahun untuk mendapatkan lesen motosikal,” katanya.
Aminuddin berkata, antara tawaran lain adalah bantuan kemasukan ke sekolah berasrama penuh sebanyak RM300.
“Kita juga menawarkan sumbangan keceriaan tahunan sebanyak RM200 kepada ibu tunggal berpendapatan RM2,000 ke bawah.
“Manakala bagi warga emas berumur 70 tahun ke atas, sumbangan keceriaan tahunan adalah sebanyak RM200,” katanya.
Aminuddin berkata, Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan ini mencakupi keperluan dan kebajikan masyarakat berbilang kaum tanpa mengambil kira batasan agama, kaum, umur, jantina dan status kehidupan.
“Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan ini adalah satu aku janji yang inklusif dan menjadi satu komitmen pemerintahan Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan
“Ia adalah untuk menjana peluang dan memberi nikmat kepada rakyat dalam memacu pembangunan negeri serta mensejahterakan rakyat,” katanya.