Tumpuan :
Nasional

PGIRM, 4PM meterai kerjasama bantu tuntut pengeluaran KWSP 2.0 bersasar

Farhan (dua dari kanan) bersalaman dengan Rosland ketika majlis memeterai usahasama menyokong Tuntutan Pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2.0 Secara Bersasar.

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) memeterai usahasama dengan Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) hari ini bagi menyokong Tuntutan Pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2.0 secara bersasar.

Usahasama itu dimeterai dalam pertemuan antara PGIRM yang diwakili Timbalan Presidennya, Mohammad Farhan Jailani, manakala 4PM diwakili Presidennya, Rosland Md Arif.

Menerusi satu kenyataan media, Presiden PGIRM, Azmi Mohd Tahir, berkata ketika pertemuan itu PGIRM dan 4PM membincangkan permasalahan rakyat secara tuntas.

“Jelas melalui kes-kes dan aduan-aduan diterima oleh 4PM mengenai masalah hutang tertunggak, kesusahan dan taraf ekonomi rakyat yang teruk adalah sangat tinggi terutama di era pasca pandemik.

“Ini secara terang menunjukkan sebahagian rakyat berada dalam keadaan yang sangat menekan emosi. Ramai hidup dalam keadaan yang sangat tertekan kerana dibelenggu hutang tertunggak dan kos sara hidup yang terus meningkat.

“PGIRM dan 4PM akan bersama terus merayu pada pihak kerajaan dalam memastikan suara rakyat, khususnya pencarum KWSP didengari dalam menuntut pengeluaran wang mereka sendiri untuk menyelesaikan masalah hutang, membaiki ekonomi dan taraf hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, 4PM juga sudah menyatakan komitmen untuk membantu mengetengahkan Tuntutan Pengeluaran KWSP 2.0 secara Bersasar itu melalui saluran yang mereka ada.

“PGIRM dan 4PM percaya kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendengar suara rakyat yang dalam kesusahan,” katanya.

Sebelum ini, PGIRM sudah membuat serahan memorandum berkaitan tuntutan itu kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin pada 19 Disember lalu di hadapan bangunan Parlimen bersama wakil pencarum.

Loading...
Terkini