
KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan tanaman hiasan apabila merampas lebih 1,000 anak Pokok Bromeliad bernilai RM250,000 di jalan Besar Rantau Panjang – Pasir Mas, dekat Rantau Panjang semalam.
Rampasan dilakukan Batalion 8 pada jam 5.20 petang menerusi Op Taring Wawasan selepas menahan sebuah lori dipandu lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat lebih 1,000 anak pokok Bromeliad dipercayai diseludup dari Thailand ditemukan di dalam sebuah lori.
“Tanaman itu disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit. Anggaran nilai rampasan keseluruhan RM250,000.
“Pemandu seorang lelaki berusia 59 tahun dipercayai menjadi penghantar tanaman itu ke pasaran tempatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya. Kes disiasat mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5.
Pada dua operasi berasingan, Nik Ros Azhan berkata Batalion 3 dan Batalion 8 PGA berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan barangan runcit bernilai RM45,500 termasuk dua kenderaan.
Katanya, rampasan dilakukan dalam serbuan di Pengkalan Haram Perdah 2 pada 6 pagi dan Kampung Gual Periuk, Rantau Panjang jam 8 pagi semalam.
“Dalam operasi itu dua lelaki berusia 37 dan 38 tahun ditahan. Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983.
“Suspek dan barang rampasan dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.