RANTAU PANJANG: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) menahan seorang lelaki dipercayai memiliki dua pistol tiruan, peluru airsoft, ‘patch’ tentera dan dadah bernilai RM6,580, ketika ditahan di Pekan Rantau Panjang, di sini, Ahad lalu.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika kejadian, anggota membuat rondaan sebelum terserempak dengan suspek berusia 24 tahun yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek, anggota menemukan pistol tiruan jenis Glock bersama satu plastik peluru airsoft dan 268 biji pil Epam.
“Selain itu, terdapat juga epolet pangkat, baju-T dan ‘patch’ unit 617 tentera yang turut dibawa suspek. Hasil penahanan lelaki berkenaan, anggota meneruskan satu lagi serbuan ke sebuah rumah di Kampung Kok Batu di sini.
“Dalam serbuan terbabit, anggota menemukan sepucuk lagi pistol tiruan jenis Glock bersama satu plastik peluru airsoft, 234 biji pil Epam, lapan biji pil kuda dan epolet pangkat tentera.
“Anggota kemudian menahan serta merampas kesemua barangan dan dadah untuk dibawa ke Komtak Taman Bakti, di sini, bagi tujuan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Nik Ros Azhan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960, dan Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.