
KOTA BHARU: Cubaan dua tekong lelaki untuk menyeludup 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) gagal apabila ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan terhadap sebuah hotel di Jalan Tok Guru di sini, semalam.
Mereka ditahan jam 4 pagi dalam Ops Taring Wawasan Kelantan oleh anggota dan pegawai Briged Tenggara PGA.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata operasi dilancarkan susulan maklumat penyeludupan dan hasil pemeriksaan lanjut pihaknya menahan dua tekong dan 20 PATI terdiri daripada lapan wanita, merangkumi 15 warga Indonesia, tiga warga Myanmar dan dua warga India.
Beliau berkata, ketika diserbu, semua suspek ditemui di luar hotel dan juga dalam bilik berasingan penginapan itu.
“Kesemua suspek gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan masuk ke negara ini yang sah kerana diseludup masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.
“Dua lelaki berusia 36 dan 54 tahun disyaki menjadi tekong untuk menyeludup dan menguruskan semua suspek masuk ke negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dua kenderaan berserta dua unit telefon bimbit, keseluruhannya bernilai RM98,000 yang digunakan untuk kegiatan menyeludup turut dirampas.
Katanya, PATI ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala tekong ditahan mengikut Seksyen 26J Akta ATIPSOM 2007 dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya.
Pada perkembangan yang lain, Batalion 8 PGA berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan mercun SJR Chabang Empat Salam, Rantau Panjang, semalam.
Dalam operasi 12.10 tengah malam itu berjaya merampas tiga guni dan dua kotak mercun pelbagai jenis anggaran bernilai RM7,000 diseludup dari Thailand yang ditemui dalam kenderaan. Mercun itu disyaki untuk dijual ke pasaran tempatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan rampasan dibawa ke IPD Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.