KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak merampas 60,352 gram makanan sejuk beku tanpa permit bernilai RM3.8 juta dalam serbuan di sebuah premis di sini.
Komander Briged PGA Sarawak, Dr. Che Ghazali Che Awang berkata, serbuan pada 10.30 pagi semalam menemui stor penyimpanan makanan sejuk beku yang meragukan.
Jelasnya, pemeriksaan oleh sepasukan polis dari Cawangan Risik Batalion 11 PGA terhadap premis terbabit menjumpai pelbagai jenis produk makanan sejuk beku yang disimpan dalam dua kontena.
Dalam serbuan itu juga, beliau berkata, dua lelaki berusia antara 31 dan 41 tahun yang dipercayai penjaga premis turut ditahan.
“Turut dirampas sebuah forklift yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kerja pemunggahan stok makanan sejuk beku berkenaan.
“Semua yang dirampas diserahkan kepada pihak Jabatan Veterinar Sarawak untuk tindakan dan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 9 (1)(3) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang pengoperasian Op Taring Briged Sarawak PGA yang dilaksanakan mulai 1 Januari hingga semalam, PGA Sarawak mencatatkan kejayaan rampasan bernilai RM70.4 juta dengan merekodkan sebanyak 42 kes.
“Semua kes ini membabitkan jumlah tangkapan seramai 82 individu membabitkan 65 warga tempatan dan 14 warga asing,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.