KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah telah melaksanakan 19 serbuan dan merampas pelbagai barangan bernilai lebih RM24 juta sepanjang dua minggu pertama 2025.
Serbuan itu dijalankan menerusi pelbagai penugasan termasuk Op Taring Eszzone, Op Kontraban dan ‘Road Check Point’ sehingga berjaya melaksanakan beberapa siri tangkapan serta rampasan.
Antara barangan yang dirampas termasuk rokok dan minuman keras tidak bercukai yang diseludup masuk ke negeri.
Komander Briged PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, sepanjang operasi serbuan berkenaan, pihaknya turut berjaya menahan 24 lelaki dan tujuh wanita.
Katanya, pihaknya turut memeriksa sebuah gudang menyimpan bunga api dengan lesen tamat tempoh di sekitar Inanam.
“Hasil serbuan, pihaknya menahan dua lelaki warga tempatan dan Indonesia untuk membantu pemeriksaan ke atas lebih kurang 6,645 kotak pelbagai bunga api,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Abdul Rani berkata, satu serbuan juga dijalankan di sekitar Batu 8 dan sebuah gudang di Kampung Mangkalinau, Batu 3, Sandakan.
Katanya, dalam serbuan berkenaan, seorang lelaki tempatan ditahan dan berjaya merampas 330,000 batang rokok keretek, 40,000 batang rokok putih dan 5,681 liter minuman keras pelbagai jenama.
“Dalam serbuan berkenaan, jumlah rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM3.27 juta berdasarkan harga pasaran semasa termasuk cukai.
“Turut dirampas sebuah van serta jentera trak angkat susun dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rani berkata, polis menerusi PGA akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam mengawal keselamatan negara dan ketenteraman awam.
“Ia bagi memastikan negara tidak dicerobohi oleh mana-mana elemen aktiviti haram penyeludupan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.