Tumpuan :
Nasional

PGA rampas RM3.1 juta nilai kelapa, cuba diseludup keluar ke Thailand

Foto hiasan

KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebanyak RM3.1 juta nilai kelapa dipercayai cuba diseludup keluar ke Thailand, sejak Jun tahun lalu sehingga kini.

Difahamkan, harga yang ditawarkan di Thailand lebih mahal sehingga mencecah lebih RM4 sebiji, sekali gus mendorong ramai menyeludup bekalan berkenaan ke negara jiran.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata bekalan terbabit dipercayai diperoleh dari Indonesia ke Batu Pahat, Johor sebelum dibawa ke Kelantan untuk diseludup keluar ke Thailand.

“Pada masa sama terdapat juga bekalan kelapa itu dari Kelantan yang mahu membawa ke Thailand demi keuntungan yang lebih banyak.

“Sepanjang Jun tahun lalu sehingga kini, nilai rampasan keseluruhan kelapa dan kenderaan sebanyak RM9.5 juta meliputi lapan kes.

“Malah, kita turut menahan 20 individu yang kebanyakannya adalah pemandu lori dan treler berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Nik Ros Azhan berkata, modus operandi yang digunakan mereka adalah membawa bekalan berkenaan ke kawasan sempadan dan kebanyakannya di Tumpat.

“Bekalan kelapa ini dipercayai akan dihantar ke stor dan pangkalan haram sekitar Tumpat sebelum dibawa menggunakan bot ke Thailand secara berperingkat. Modus operandi ini kita kesan menerusi rampasan terbaru pada minggu lalu.

“Stor di Tumpat itu dibina atas tanah persendirian dengan binaan pagar yang tinggi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Semasa membawa bekalan kelapa itu, biasanya transporter akan membawa invois belian.

“Sepatutnya perlu disertakan lesen atau permit membeli yang dikeluarkan FAMA,” katanya rampasan berkenaan disiasat mengikut Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 (FAMA),” katanya.

Justeru beliau tidak menolak kemungkinan bekalan kelapa di Kelantan dan beberapa negeri lain tidak mencukupi disebabkan ada di kalangan pihak tertentu cuba menyeludup keluar demi mendapat keuntungan yang lebih tinggi.

Pada masa sama katanya, PGA akan terus perketat kawalan bagi mengekang kegiatan penyeludupan.

Terdahulu media melaporkan, harga santan di Kelantan dijangka terus meningkat kepada RM20 sekilogram menjelang Ramadan ini berbanding berikutan bekalan kelapa masih berkurangan.

Situasi itu berlaku sejak awal Disember lalu yang menyebabkan harga santan pada asalnya sekitar RM9 hingga RM10 sebelum ini kini meningkat kepada RM17 hingga RM18.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini