comscore
Tumpuan :
Nasional

PGA rampas reptilia dari Thailand, penyeludup sempat larikan diri

Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 84 reptilia hidup yang diseludup dari Thailand termasuk pelbagai jenis ular dan cicak bernilai RM302,500, di Kampung Mentua, Pengkalan Kubor, Tumpat pagi semalam. – FPTP: PGA

TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 84 haiwan reptilia hidup diseludup dari Thailand termasuk pelbagai jenis ular dan cicak bernilai RM302,500 di Kampung Mentua, Pengkalan Kubor, di sini, pagi semalam.

Rampasan jam 6.30 pagi itu dilakukan Batalion 9 PGA menerusi Op Taring Wawasan selepas melihat beberapa lelaki dalam keadaan mencurigakan di tebing Sungai Golok.

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, sebaik beberapa penyeludup berkenaan melihat kehadiran pihak berkuasa, mereka terus melarikan diri meninggalkan beberapa kotak.

“Hasil pemeriksaan dalam kotak berkenaan mendapati lebih 70 ekor pelbagai jenis ular, lima ekor cicak jenis Spiny Tailer Monitor dan sembilan kura-kura dipercayai diseludup dari Thailand.

Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM 302,500.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 60(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Hasil rampasan diserahkan ke Komtak Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu dalam operasi berlainan, Nik Ros Azhan berkata, pihaknya merampas pelbagai makanan sejuk beku bernilai RM59,890 di Kampung Lemal, Pasir Mas, malam kelmarin.

Rampasan dilakukan jam 11 malam selepas pihaknya menahan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai bungkusan makanan sejuk beku yang dipercayai diseludup dari Thailand ditemui di dalam lori itu tanpa dokumen yang sah.

“Suspek seorang lelaki Melayu berumur 39 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup barang runcit itu ke pasaran tempatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini