KULIM: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2 berjaya merampas pelbagai jenis barangan termasuk pakaian, alatan kenderaan, barangan kosmetik serta barangan lain tanpa dokumen sah dan meragukan bernilai RM1.2 juta.
Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, rampasan itu dilakukan selepas sepasukan polis dari Cawangan Risik Batalion 2 PGA Kulim menahan treler warna merah yang dipandu seorang lelaki tempatan di tepi jalan Kuala Ketil berhampiran dengan stesen minyak Bandar Baru Puteri Jaya, Sungai Petani jam 3.30 petang semalam.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di belakang treler itu menemui pelbagai baju, selipar, alat ganti motosikal, makanan, pewangi dan barangan lain yang diimport masuk ke negara ini dari Thailand.
“Pihak polis mengarahkan pemandu berusia 49 tahun itu untuk mengemukakan dokumen kelulusan dan butiran barangan yang dibawa bagi tujuan pemeriksaan tetapi suspek gagal menunjukkan dokumen berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati, kesemua barangan itu tidak mempunyai cukai Kastam dan nilai keseluruhan barangan termasuk lori treler berkenaan adalah RM2 juta yang mana treler itu bernilai RM810,000.
“Suspek bersama kesemua 67 item barangan itu kemudian dibawa ke Pejabat Kastam Sungai Petani untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Kem Batalion 2, PGA di sini hari ini.
Hadir sama, Pegawai Pemerintah Batalion 2, PGA, Superintendan Ismail Sidek.
Sharum berkata, antara barangan terbabit yang dirampas adalah 194 kotak pakaian bernilai RM534,100; 115 kotak alat ganti kenderaan (RM262,230), 910 kotak barang kosmetik serta makanan tambahan bernilai RM369,466 dan makanan haiwan seberat 508 kilogram bernilai RM25,400.
Beliau berkata, modus operandi yang digunakan lelaki terbabit adalah dengan meletakkan baju, selipar serta seluar serta ratusan guni yang mengandungi pakaian, manakala timbunan kotak yang mengandungi barang kosmetik serta makanan tambahan dan alat ganti kenderaan itu di bahagian belakang.
“Selain itu, siasatan awal juga mendapati, sebahagian barangan dalam lori ini diisytiharkan telah berkastam iaitu baju, seluar dan selipar namun pemeriksaan lanjut mendapati, hanya sebahagian kecil sahaja yang berkastam selebihnya kita tidak menerima dokumen pengesahan barangan terbabit,” katanya.
Sharum berkata, ini adalah rampasan pertama terbesar tahun ini oleh PGA Batalion 2 ke disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.