
Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
BENTONG : Kegiatan penyeludupan minuman keras dan rokok ditumpaskan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dalam operasi berasingan di Bentong dan Temerloh, Pahang dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM1 juta.
Dalam Op Taring Alpha 2 yang dijalankan di Jalan Chui Yin, Bentong, pada jam 1 tengah hari semalam, PGA menyerbu sebuah premis dan menemui 4,000 botol minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai untuk pasaran tempatan.
Seorang lelaki berusia 49 tahun ditahan, dan pemeriksaan Jabatan Kastam mendapati minuman keras tersebut meragukan dengan anggaran nilai rampasan mencecah RM877,000.
Manakala, kelmarin dalam Op Taring Alpha 1 di Taman Jaya 4, Jalan Maran, Temerloh, PGA merampas 27,000 batang rokok putih dan 9,880 batang rokok kretek yang disembunyikan dalam kenderaan milik suspek.
Seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan, dengan nilai rampasan dianggarkan RM121,000.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967, dan semua barangan rampasan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
PGA dalam kenyataan menegaskan usaha membanteras aktiviti penyeludupan akan terus dipergiatkan bagi membendung kegiatan haram itu.