
KUALA LUMPUR: Sindiket pemprosesan sisa elektronik (e-waste) dan sisa berjadual yang beroperasi secara haram membabitkan dua kilang, masing-masing di Pekan dan Kuantan tumpas dalam Op Hazard selepas pelbagai barangan termasuk mesin bernilai RM401 juta dirampas, kelmarin.
Serbuan yang dilakukan serentak pada jam 10.30 itu dijalankan Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Batalion 7 PGA, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kuantan dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).
Briged Tenggara PGA Rasmi memaklumkan serbuan itu dilakukan di Ladang Kelapa Sawit Simpai, Pekan dan kawasan perindustrian Gebeng, di sini.
“Hasil serbuan mendapati terdapat puluhan guni mengandungi pelbagai e-Waste dan sisa berjadual seperti `black powder’ (copper/nickel), lebih 670 tan perak yang belum dan sudah diproses.
“Selain itu, campuran barangan terjadual, pelbagai mesin dan jentera memproses bahan pelupusan ditemui dalam kilang tersebut tanpa dokumen yang sah daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“E-Waste dan sisa berjadual ini dipercayai dibawa masuk dari China untuk diproses dan dijual semula ke pasaran luar negara.
“Anggaran nilai rampasan bernilai mencecah RM410 juta dan kes disiasat dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Kanun Tanah Negara Akta 828,” menurut kenyataan di Facebook Briged Tenggara PGA Rasmi.
Menerusi hantaran itu, seorang lelaki tempatan serta dua lelaki warga China dan Bangladesh yang menjadi penjaga kepada kilang terbabit ditahan bagi membantu siasatan.
Barang rampasan diserahkan kepada JAS Kuantan dan UPNP untuk tindakan lanjut.
“PGA dan JAS akan terus mempergiatkan usaha melupuskan e-Waste dengan kaedah yang betul agar kualiti alam sekitar tidak tercemar dari bahan yang berbahaya,” tambah kenyataan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.