
KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah merampas pelbagai barangan bernilai RM35.28 juta dan menahan 27 individu sepanjang operasi selama 10 hari bermula 19 Februari lalu.
Operasi yang dilaksanakan pegawai dan anggota PGA itu dilaporkan berjaya melakukan 14 serbuan di beberapa daerah antaranya Papar, Sandakan, Lahad Datu serta Keningau.
Komander PGA Sabah Datuk Abdul Rani Alias berkata, serbuan pertama dijalankan di sebuah kampung di Jalan Papar Lama dan berjaya menahan tiga individu.
Menurutnya, dalam operasi berkenaan, pasukan operasi mengesan aktiviti menyedut, menyimpan dan menjual pasir sungai.
“Aktiviti dijalankan secara tidak sah dengan lesen Jadual B, Peraturan 3(1) Ordinan Tanah Sabah sudah tamat tempoh sejak November lalu.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM5.81 juta dan akan disiasat mengikut Jadual B, Peraturan 3(2) Ordinan Tanah Sabah (CAP 68),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Abdul Rani berkata, serbuan kedua dijalankan di sebuah rumah tidak bernombor di Batu 1 1/1, Jalan Bukit dan Kampung Tinosa 1, Batu 7 Sandakan.
Katanya, seramai tiga individu ditahan selepas dikesan melakukan kesalahan menyimpan barangan lusuh dan e-waste secara tidak sah.
“Lokasi berkenaan juga disyaki dijadikan tempat melebur serta memproses timah secara tidak sah dan rampasan dianggarkan bernilai RM4.12 juta.
“Kes disiasat mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Buangan Terjadual,” katanya.
Menurutnya, serbuan ketiga dijalankan di Kampung Sapat, Papar dan merampas pelbagai jenis makanan sejuk beku dan kenderaan yang dianggarkan bernilai RM1.65 juta.
Katanya, pasukan serbuan berjaya menahan seorang individu dan kes disiasat Ordinan Perlesenan Perdagangan 1948 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.
“Operasi keempat dilaksanakan di sebuah premis tidak bernombor di Jalan POIC, Lahad Datu, dan merampas isirung sawit bernilai lebih RM1 juta termasuk kenderaan serta beberapa unit barangan lain.
“Tiga individu berjaya ditahan dalam serbuan ini dan kes disiasat mengikut Peraturan 5(1) D, Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rani berkata, serbuan terakhir dijalankan di daerah Keningau dan menahan lapan individu selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti penyeludupan rokok.
Katanya, pasukan operasi berjaya merampas pelbagai jenis rokok dan kenderaan termasuk lori serta van yang dipercayai digunakan untuk aktiviti berkenaan.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM21.18 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.