Tumpuan :
Nasional

PGA rampas barangan lebih RM35 juta dalam 3 serbuan

Lori yang ditahan PGA kerana membawa pelbagai barangan diseludup dari Thailand masuk ke negara ini melalui Kota Putra Durian Burung di Padang Terap. FOTO: PGA

ALOR SETAR: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara merampas barangan bernilai lebih RM35 juta dalam tiga serbuan dilakukan di tiga daerah di negeri ini bermula Khamis hingga Sabtu lalu.

Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kulim menyerbu sebuah kilang pemprosesan sisa elektronik di Jalan Merbau Pulas, Kawasan Industri Kuala Ketil pada jam 3 pagi kerana disyaki menjadikan kawasan itu tempat pemprosesan sisa elektronik secara haram.

Beliau berkata, selepas memperkenalkan diri sebagai polis, beberapa individu cuba melarikan diri, namun pasukan serbuan berjaya menahan seorang lelaki warga China dan dua lelaki Myanmar yang tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat pelbagai jenis barangan sisa komponen elektronik (E-Waste).

“Berikutan itu, tiga lelaki warga asing itu diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen.

“Semua barangan E-Waste yang dirampas bernilai lebih RM33 juta diserahkan kepada JAS Kulim yang turut diambil sampel setiap jenis komponen dirampas itu dan menjalankan proses sitaan serta siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrum berkata, siasatan lanjut mendapati, lelaki warga China itu bekerja sebagai pengurus kilang pemprosesan terbabit dan majikannya tidak berada di negara ketika ini.

Beliau berkata, kilang ini tidak mempunyai lesen dan disyaki beroperasi secara haram sejak enam bulan lalu, malah di sekeliling kawasan itu turut ditutup pagar zink tinggi kira-kira tiga meter untuk mengelak kegiatan dikesan.

“Semua sisa elektronik ini diperoleh lelaki warga China itu daripada pelbagai syarikat kitar semula di Shah Alam dan Klang di Selangor, Alor Setar serta Sungai Petani.

“Tangkapan terhadap lelaki China itu dilakukan mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pekerja yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) bekerja sebagai buruh di kilang itu dan tidak mempunyai sebarang dokumen sah.

“Satu kertas siasatan dibuka JAS Kulim mengikut Seksyen 33B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk melupuskan semua sisa elektronik yang berada di kilang berkenaan,” katanya.

Shahrum berkata, lelaki warga China itu direman lima hari bermula Sabtu lalu hingga Rabu ini, manakala dua lelaki warga Myanmar direman 14 hari bermula hingga 31 Januari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga mereka diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Baling untuk tujuan siasatan mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1) (c) akta sama.

Dalam serbuan di Bandar Darul Aman, Jitra pula, Cawangan Risik PGA Batalion 3 Bidor, Perak bersama JAS Kedah menjalankan Op Sepadu E-Waste di sebuah premis kilang di daerah itu pada jam 2.30 petang Khamis lalu.

Shahrum berkata, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemui komponen elektrik di sekitar kawasan premis berkenaan.

“Berikutan itu, pasukan serbuan merampas kenderaan dan peralatan disyaki digunakan untuk memproses E-Waste di premis itu.

“Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia 67 tahun untuk membantu siasatan dan dia bersama barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Jitra untuk tindakan pihak JAS Kedah.

“Lelaki terbabit turut dikompaun pihak berkuasa tempatan (PBT) daerah Kubang Pasu kerana kesalahan tiada lesen perniagaan,” katanya.

Shahrum berkata, beberapa sampel E-Waste turut diambil pihak JAS Kedah untuk dihantar ke Jabatan Kimia dan jumlah keseluruhan rampasan kes kedua ini dianggarkan bernilai lebih RM1.14 juta.

Beliau berkata, dalam serbuan ketiga di tepi jalan Durian Burung, Kota Putra di daerah Padang Terap pada jam 6.45 petang, Cawangan Risik Batalion 1 PGA menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun kerana cuba menyeludup masuk pelbagai jenis barangan dari Ban Prakop, Thailand ke Kuala Lumpur.

“Antara barangan itu termasuk minuman keras, alat ganti kenderaan, makanan sejuk beku, makanan kering, perabot, pelbagai jenis minuman dan lain-lain barangan diimport masuk ke negara ini dari Thailand yang ditemui di belakang lori dipandunya.

“Pemandu lori itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan butiran barangan dan anggaran rampasan bernilai lebih RM1 juta,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini