Tumpuan :
Nasional

PGA rampas 16kg ganja bernilai lebih RM50 ribu di Rantau Panjang

Ganja seberat lebih 16kg yang dirampas anggota PGA8.- FOTO: PGA

RANTAU PANJANG: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) merampas lebih 16 kilogram (kg) ganja bernilai RM50,148.70 di pangkalan haram Hasan Merah, di sini, pada 7 pagi semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika kejadian anggota yang membuat rondaan di situ terserempak dengan lelaki berusia 23 tahun membawa tiga bungkusan,

“Suspek melarikan diri dan melepaskan bungkusan di tangan sebelum bertugas mengejar suspek dan berlaku sedikit pergelutan.

“Bagaimanapun lelaki terbabit berjaya ditahan dan pemeriksaan pada bungkusan itu menemukan dadah dipercayai ganja,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang juga penduduk tempatan disyaki ingin menghantar bekalan dadah dari negara jiran, Thailand, ke sebuah kereta yang diparkir berdekatan pangkalan haram berkenaan.

“Kesemua dadah dirampas, manakala suspek diserahkan kepada cawangan narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif Methamphetamine. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini