RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan 431 kes jenayah rentas sempadan membabitkan 373 tangkapan dengan nilai rampasan RM18.5 juta bermula Januari sehingga Mac 2024.
Kegiatan jenayah rentas sempadan di perairan Sungai Golok sepanjang 29.9 kilometer bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat hingga Rantau Panjang Kelantan dipantau 24 jam anggota PGA bagi membanteras aktiviti haram.
Bertindak menerusi Op Taring Wawasan Kelantan, anggota PGA ditugaskan secara penggiliran antara 3 batalion iaitu batalion 7, 8 dan 9 di bawah Briged Tenggara PGA.
Markas Taktikal PGA di Lubok Setol menjadi induk bagi setiap operasi yang akan dijalankan di sekitar sempadan Sungai Golok dan mempunyai pos kawalan setiap 3 kilometer di sepanjang sempadan.
Operasi bermula pada jam 9 pagi, rondaan Batalion 9 dari Lubok Setol mula menuju ke pos kawalan utama iaitu Pos Ibrahim Pencen yang terletak kira-kira 10 kilometer dan berada di persisiran Sungai Golok.
Penugasan pos statik 24 jam menjalankan aktiviti rondaan berjalan kaki, rondaan bermotosikal, kereta dan team strikeforce beserta unit pemantauan udara.
Setiap pasukan rondaan akan memulakan tugasan secara berkumpulan.
Jarak sempadan sejauh 51 kilometer yang di pantau mempunyai pelbagai struktur mukabumi dan ada di antaranya tidak dapat di akses dengan mudah.
Rondaan bermotosikal berkumpulan dengan 4 orang anggota akan digunakan bagi operasi ‘off road’ yang melalui denai dan hutan kecil.
Objektif utama pasukan PGA adalah bagi membanteras penyeludupan dadah, senjata api, PATI dan barang-barang kontraban.
Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 9, Superintenden Mannadzar Nasib, ancaman terbesar pasukan adalah jenayah rentas sempadan.
“Jenayah utama adalah penyeludupan barang-barang kontraband, penyeludupan PATI, dan juga penyeludupan barang-barang subsidi ke negara jiran.
“Kawalan kita adalah bagi memastikan sektor ekonomi, sosial dan terutama masyarakat di sekitar sempadan dalam keadaan selamat dan terjamin keselamatannya,” katanya.
Kegiatan jenayah di sepanjang sungai ini perlu di pantau dengan teliti kerana terdapat banyak lorong tikus melalui hutan-hutan kecil yang digunakan penjenayah untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
Pemantauan udara dari unit dron akan bertindak memantau kawasan sasaran yang sukar dilalui dan risikan harus dilakukan dalam masa yang singkat mengikut maklumat yang diterima.
Melalui jalan darat di pintu sempadan, sekatan jalan raya oleh pasukan PGA turut dijalankan bagi memastikan tiada aktiviti jenayah rentas sempadan dapat dilakukan.
Menurut orang awam yang ditemui berkata sekatan dilakukan anggota PGA dapat mengurangkan kerisauan terhadap tahap keselamatan.
Ahmad Fitri Mohd Nawi berkata sekatan yang dijalankan membuatnya rasa lebih selamat.
“Rasa semakin selamat dan jika tidak dilakukan sekatan akan ada rasa sedikit kerisauan dan tidak selamat,” katanya.
Saksikan laporan khas ‘PGA Sg. Golok’ dan pelbagai rangkuman kes sepanjang minggu dalam program 999 malam ini di TV3.
Program 999 bersiaran setiap Selasa, jam 9 malam dan strim sekarang melalui Tonton!
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa
View this post on Instagram