KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas selipar dan kasut pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM55,100 yang disyaki diseludup dari Thailand dalam satu operasi di pengkalan haram Pok Dir, Pasir Mas semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dalam serbuan 12.30 tengah malam itu, seorang lelaki berusia 29 tahun turut ditahan.
Beliau berkata lelaki itu dipercayai menjadi penghantar kasut dan selipar yang dipercayai diseludup dari Thailand itu ke pasaran tempatan.
“Polis turut menyita sebuah kereta yang didalamnya terdapat beberapa bungkusan berisi 710 pasang selipar dan 196 kasut.
“Suspek dan barang rampasan dibawa ke Komtak (Kompeni Taktikal) PGA Jeram Perdah untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini.-BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.