Tumpuan :
Nasional

PGA bongkar kegiatan kilang buangan elektronik haram, rampas RM10.3 juta

Bahan buangan elektronik (e-waste) yang dirampas di sebuah kilang oleh PGA. –  FOTO: NSTP/ Ihsan PGA

SHAH ALAM: Kegiatan sebuah kilang memproses buangan elektronik (e-waste) secara haram terbongkar apabila diserbu oleh sepasukan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Jafri Muhamad berkata, dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari, pasukan turut membuat rampasan berjumlah RM10.3 juta.

Menurutnya, serbuan itu membawa kepada penahanan dua pekerja di kilang terbabit iaitu lelaki warganegara Kemboja berumur antara 24 tahun hingga 42 tahun.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis, mendapati sejumlah barangan buangan yang dikategorikan sebagai Buangan Terjadual di dalam jadual pertama, Peraturan- Peraturan Kualiti Alam Sekeliling Terjadual 2005.

FOTO: NSTP/ Ihsan PGA

“Barangan dirampas adalah 120 tan logam tembaga, 200 tan logam aluminium, 80 tan logam keluli (stainless steel), sebuah mesin pemotong wayar, dua mesin pemampat, dua mesin kompresor, sebuah mesin pelurus logam.

“Pasukan turut merampas tiga kenderaan forklift berserta kunci, 250 buah meter elektrik, sebuah mesin penimbang berat dan sebuah lori 10 tan berserta kunci, dengan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM10,315,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jafri berkata,semua rampasan diserahkan kepada pihak JAS atas kesalahan mengikut Seksyen 22, 25, 34A, dan 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1976(1)(c).

“Manakala semua tangkapan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di bawah Akta Imigresen 1959/63 untuk tindakan selanjutnya.

FOTO: NSTP/ Ihsan PGA

“Tangkapan dan rampasan ini berjaya mengekang kegiatan memproses e-waste secara haram di sekitar Lembah Klang.

“Saya menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini