Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Sabah akan mengambil langkah lebih proaktif untuk menangani masalah kekurangan air pada masa hadapan, terutama akibat kesan daripada berlakunya perubahan iklim.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata pewartaan air, rizab pantai dan telaga tiub antara kaedah dicadangkan kepada kerajaan negeri menangani krisis air di negeri itu.
“Perlindungan itu kawasan yang tidak boleh diganggu sama sekali walaupun dia kawasan tanah negeri walaupun di luar taman negara atau di luar hutan simpan kita mesti gazet kawasan ini sebagai kawasan perlindungan,
“Sekitar itu memang ada juga kawasan-kawasan mempunyai tadahan air dan ini kategorikan sebagai kawasan pemeliharaan dan ini juga perlu kita gazet tetapi kawasan ini ada kelonggaran sedikit sebab kawasan ini ada tanah bergeran kebun-kebun,
“Tetapi kita kena buat dasar untuk menangani mengurus kawasan pemeliharaan ini di mana dia akan mempunyai peraturan-peraturan untuk menggunakan tanah tersebut jadi ini untuk jangka panjang juga untuk sekarang lah kita mesti sumber kalau tidak ada sumber tidak ada air turun untuk Jabatan Air mengurus bekalan air dan industri-industri kita,” katanya
Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sumber Air Negeri Sabah di Wisma Pertanian di sini, hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri juga akan melibatkan ketua-ketua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk membentuk jawatankuasa menyelia sumber air.
Pihak berkuasa juga ujarnya akan mencari telaga tiub dan melaksanakan pemindahan air untuk menangani kekurangan air semasa musim kemarau.
Apabila musim kemarau berakhir, Jeffrey berkata kerajaan akan membina rizab pantai dan kolam tadahan untuk mengaut lebihan air semasa hari hujan.
Sementara itu, enam daripada 89 loji air tidak beroperasi pada kapasiti penuh, termasuk di Pulau Sebatik di Tawau, Pulau Banggi di Kudat, dan Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) di Papar.
Mengenai paras air sungai pula Jeffrey berkata parasnya telah menurun antara 10 dan 50 peratus.
Keadaan itu menjejaskan penanam sawah padi, dengan 2274.34 hektar di Keningau, 108.01 hektar di Kota Belud, 54.67 hektar di Papar, dan 40.23 hektar di Membakut terjejas.
Memandangkan sudah hampir musim menuai, menurut Jeffrey lagi pihak berkuasa hanya membantu mengepam air ke sawah.
Bagaimanapun, beliau lebih mementingkan penanaman padi untuk musim hadapan kerana bimbang dan menjangkakan pengeluaran yang lebih rendah pada tempoh masa hadapan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.