comscore
Tumpuan :
Nasional

Petugas media Malaysia berdepan detik cemas di Islamabad

Petugas media Malaysia bersama pegawai Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad.

Oleh: Fazli Ahmad

ISLAMABAD: Tujuh petugas media Malaysia berdepan detik cemas di sini, kelmarin, berikutan protes besar-besaran rakyat Pakistan yang menyebabkan ibu negara terbabit hampir lumpuh dan semua laluan utama ditutup.

Situasi itu menyukarkan petugas media Malaysia yang berada di Islamabad bagi membuat liputan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pakistan selama tiga hari yang berakhir 4 Oktober lalu, untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Islamabad, pulang ke tanah air.

Susulan itu, petugas media Malaysia berkenaan terpaksa menggunakan laluan alternatif dan meredah beberapa lokasi panas.

Mereka turut melalui detik cemas apabila pacuan empat roda yang dinaiki melintasi landasan kereta api, setelah laluan utama sesak dengan deretan lori dan pelbagai jenis kenderaan setelah jalan disekat dengan kontena.

Tujuh petugas media terbabit adalah wartawan TV3, Fazli Ahmad dan jurukamera, Muhamad Abdul Razak Abdul Rahman, selain wakil media dari Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro Awani.

Sistem komunikasi di Pakistan juga dakwa mereka lumpuh kerana talian telefon serta internet disekat, dipercayai sebagai usaha menghalang penyokong bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan untuk hadir di beberapa lokasi protes di seluruh negara berkenaan.

Petugas media Malaysia itu dibantu dua pegawai Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad, iaitu Khairul Amri Kamarudin dan Khairul Anwar Kamarudin.

Sepanjang perjalanan juga, kenderaan dinaiki petugas media Malaysia terpaksa melalui lokasi protes rakyat Pakistan, selain sekatan jalan raya dan pemeriksaan ketat oleh pihak polis serta tentera negara terbabit.

Perjalanan menggunakan laluan altenatif itu antara hotel penginapan mereka di pusat bandar ke Lapangan Terbang Antarbangsa Islamabad mengambil masa lebih lima jam berbanding waktu biasa hanya kira-kira 30 minit.

Semua petugas media selamat tiba di lapangan terbang terbabit dan sempat menaiki pesawat pulang ke tanah air semalam.

Suasana tegang di seluruh Pakistan tercetus berikutan penyokong Imran Khan melakukan protes sempena hari jadi ke-72 pemimpin politik itu, selain tindakan kerajaan negara itu yang memenjarakannya sebelum ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini