
Oleh: Kadir Edison
KUCHING: Syarikat Petroleum Sarawak (PETROS) telah menghantar surat kepada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bagi membolehkan perbincangan terperinci mengenai kerjasama antara kedua-dua syarikat minyak berkenaan dimuktamadkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau berharap kedua-dua pihak dapat mencapai kata sepakat mengenai perincian kerjasama yang akan dibincangkan.
Bagaimanapun katanya, sekiranya tiada persefahaman dicapai, perkara itu akan diputuskan bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Ketika ini, biarlah PETROS dan PETRONAS menyelesaikan semua butiran yang diperlukan, termasuk pengaturan komersial serta cara untuk menterjemahkan dua aspek undang-undang iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Ordinan Pengagihan Gas 2016 supaya kedua-dua pihak dapat bergerak seiring.
“Perincian perlu diselesaikan dan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak, baik PETRONAS mahupun PETROS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Agihan Bubur Pedas Kejiranan Mesra DBKU di Kuching.
Menurutnya surat itu telah dihantar oleh PETROS baru-baru ini, namun maklum balas daripada PETRONAS masih belum diterima.
Terdahulu, pada 23 Februari lalu, Premier Sarawak menyatakan kesediaan PETROS untuk bekerjasama dengan PETRONAS dalam pelbagai bidang berkaitan industri minyak dan gas di Sarawak.
Perkembangan itu susulan kenyataan Perdana Menteri dalam sesi penerangan di Dewan Rakyat pada 22 Februari lalu, di mana beliau menyatakan Kerajaan Persekutuan memperakui aspirasi Sarawak untuk terlibat dalam industri minyak dan gas di negeri itu.
Hasrat tersebut juga termaktub dalam Ordinan Pengagihan Gas 2016, yang mula berkuat kuasa pada 1 Mac lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.