comscore
Tumpuan :
Nasional

PETRONAS bangun janakuasa di Labuan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam ketika meninjau Projek Pemasangan Paip Pulau Enoe, Labuan hari ini.

Oleh: Safwan Sawi

LABUAN: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) akan membangun janakuasa bekalan elektrik di Labuan yang dijadual beroperasi menjelang 2027.

Ia bagi meningkatkan sekuriti bekalan tenaga sehingga 130 megawatt di pulau bebas cukai itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata persetujuan secara prinsipnya itu akan dibawa dalam memorandum jemaah menteri untuk kelulusan kabinet pada Rabu ini.

“Diharapkan sektor bekalan elektrik nanti by 2027 kita akan dapat satu janakuasa yang baharu yang boleh memberi jaminan bekalan elektrik yang lebih orang kata terjamin dan mampu dibiayai pengguna,” katanya.

Jelasnya, beliau juga sudah berbincang dengan Ketua Menteri Sabah, Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) dan Suruhanjaya Tenaga Sabah berhubung perkara itu.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam berkata demikian kepada media selepas meninjau Projek Pemasangan Paip Pulau Enoe, Labuan.

Dalam lawatan kerja sehari ke Labuan itu, Fadillah turut membuat lawatan ke beberapa projek pembangunan di pulau itu antaranya Stesen Janakuasa Patau-patau, Loji Rawatan Air Jalan Kolam dan Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Rancha-Rancha.

Ketika lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke sini pada Disember lalu, beliau mencadangkan penyelesaian jangka panjang berhubung gangguan bekalan elektrik di Labuan dengan Petronas akan membangunkan janakuasa baharu.

Dalam perkembangan lain, Labuan juga dijangka melakukan projek rintis untuk sumber bekalan air seratus peratus dari pulau itu tanpa bergantung Sabah.

Fadillah berkata jaminan itu penting memandangkan Sabah sendiri berdepan masalah sumber bekalan air ketika ini.

“Kalau kita dapat melihat sumber bekalan air yang boleh dibekalkan 100 peratus untuk Labuan akan lebih terjamin lagi lah. Itu antara isu yang kita lihat,” katanya.

Jelasnya, apa yang paling utama masalah kritikal perlu diselesaikan terlebih dahulu untuk jangka panjang dan sederhana di pulau berkenaan.

Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2024 memperuntukkan sejumlah RM1.1 bilion bagi menyelesaikan isu bekalan air di Kelantan, Sabah dan Labuan.

Loading...
Terkini