Tumpuan :
Nasional

PETRA pasang pam bergerak bagi percepat banjir surut

Tinjauan Skuad Ihsan Madani PETRA ke lokasi Pam Bergerak di Kampung Raya, Port Dickson. -FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Skuad Ihsan Madani PETRA memaklumkan telah menjalankan misi pemantauan dan penilaian keberkesanan pemasangan pam bergerak di pintu kawalan air pasang surut (TCG).

Ia sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir di beberapa kawasan berisiko sekitar Port Dickson, Negeri Sembilan.

 

PETRA berkata, pam bergerak itu berfungsi mengalirkan air keluar dari kawasan banjir bagi mempercepatkan proses surut.

Di Negeri Sembilan katanya, tiga TCG dipasang di lokasi hotspot banjir di daerah Port Dickson iaitu Tanjung Agas, Sungai Raya dan Kampung Paya yang terbukti berkesan dalam mengurangkan risiko banjir.

“Pam di Tanjung Agas dan Sungai Raya masing-masing meliputi kawasan seluas 1.0 hektar, memberi manfaat kepada 15 rumah dan 50 penduduk.

“Sementara itu, Pam Kampung Paya meliputi kawasan seluas 3.0 hektar, memberi manfaat kepada 50 rumah dan 200 penduduk,” katanya sambil menambah keseluruhan pam bergerak di seluruh negara merekodkan 284 unit.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Paya, Vagidah Rohiman MS Kader mengesahkan, sejak pemasangan pam bergerak, kawasan itu tidak lagi mengalami banjir besar dengan kejadian terakhir berlaku pada tahun 2021.

Pengerusi JPKK Kampung Tanjung Agas, Hairi Dahalan turut berkongsi pandangan dengan menyatakan pam bergerak itu bukan saja membantu penduduk setempat tetapi juga mengurangkan kerosakan harta benda akibat banjir.

Sementara itu, PETRA berkata, pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Raya, Negeri Sembilan yang melibatkan kos projek RM21.8 juta dijangka bermula Januari 2025.

“Ia dapat mengurangkan risiko banjir kepada anggaran sejumlah 100 buah rumah dan 500 orang penduduk di Kampung Sungai Raya serta Kampung Tanjung Agas setelah siapnya projek menjelang tahun 2026 dengan anggaran keluasan 3 kilometer (km) persegi kawasan banjir akan dapat dikurangkan,” katanya.

Menurutnya, sebagai usaha bantuan bencana, Skuad Ihsan Madani PETRA juga melaksanakan misi agihan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Gedok, Negeri Sembilan.

“Seramai 35 orang daripada 12 keluarga, penduduk Kampung Gedok yang terkesan dengan kejadian banjir baru-baru ini menerima bantuan berupa kit pembersihan diri, kit pembersihan kediaman pasca banjir, kit kecemasan, makanan dan minuman bertujuan untuk meringankan beban yang dihadapi mangsa pasca banjir,” katanya.

Menurutnya, rombongan sukarelawan Skuad Ihsan Madani PETRA juga menyempurnakan sesi penyerahan barang bantuan kepada Pejabat Daerah Tampin untuk diagihkan pada mangsa banjir.

“PETRA serta agensi di bawahnya sentiasa terus proaktif dalam menjalankan pemantauan dan tindakan dari semasa ke semasa terhadap situasi banjir yang berlaku terutama di Kawasan berisiko banjir di seluruh negara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini