KUCHING: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited untuk memastikan 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) diwujudkan seluruh negara menjelang hujung tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata penyediaan stesen pengecas itu perlu diwujudkan di semua kawasan bukan sahaja di kawasan bandar, tetapi juga meliputi kawasan luar bandar.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi berkata, ia perlu bagi menggalakkan lebih ramai beralih kepada kenderaan mesra alam dalam usaha menangani perubahan iklim.
“Kenderaan EV sebenarnya di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tetapi PETRA bertanggungjawab untuk meningkatkan stesen pengecas.
“Kalau kita hendak menggalakkan (penggunaan kenderaan EV) mesti terlebih dahulu ada stesen pengecas untuk kemudahan orang ramai sebab kebanyakan kereta EV kapasitinya ialah setiap 300 kilometer (km) hingga 400km mesti kena cas semula, justeru peningkatan stesen pengecas itu memang salah satu agenda bersama di bawah MITI dan juga PETRA,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Warga Emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) Kawasan Sungai Tengah Matang sempena Tahun Baharu Cina 2025 anjuran bersama Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Matang di Dewan SUPP Matang, di sini, hari ini.
Sementara itu, mengenai perkembangan tuntutan penambahan 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, Fadillah berkata, perkara itu masih dalam penilaian Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurutnya, di peringkat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 MA63), pihaknya sudah mengadakan mesyuarat selain menyatakan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak berhubung hak penambahan kerusi Parlimen itu.
“Perkara ini masih dalam penilaian mereka (BHEUU) dan sepatutnya ada perbincangan antara peguam atau penasihat undang undang negeri Sarawak, Sabah dan juga Persekutuan.
“Tetapi setakat ini, belum ada perkembangan lanjut dan kita (Jawatankuasa Teknikal MA63) juga masih menunggu pelaporan yang terkini hasil apa yang dibuat oleh SPR,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.