| Oleh Ezzuan Ahmad
DUNGUN: Banjir besar di Dungun minggu lalu, menyebabkan sebahagian pekebun di Kampung Durian Mentangau berputih mata apabila tanaman yang diusahakan mereka musnah.
Mereka turut menanggung kerugian besar kerana jentera dan peralatan pertanian turut rosak akibat ditenggelami air.
Tinjauan di beberapa kebun milik peserta tanaman berkelompok RISDA mendapati banjir masih lagi tidak surut, menyebabkan tanaman cili, jagung dan sayuran lain musnah.
Menurut seorang pekebun cili fertigasi, Mohd Nor Besar, 40 tahun, dia kerugian hampir RM40 ribu selepas 2,000 pokok cili yang sudah sedia untuk dituai hasilnya, baja bermutu tinggi dan peralatan pertanian rosak.
Katanya, banjir kali ini di luar jangkaan dan terburuk sejak 15 tahun dia mengusahakan kebun dan kini buntu untuk menanam semula berikutan kekurangan modal.
Manakala pesawah, Zaidi Ahmad, 55 tahun pula kerugian ratusan ribu ringgit apabila semua jenteranya terjejas banjir.
“Keseluruhan jentera kita, termasuk ‘machinery’ lebih kurang tiga puluh unit lah, jadi yang tenggelam terus tu lebih kurang dalam sepuluh unit, pam air yang ada kat sawah padi memang tak sempat kita angkat…” katanya.
Susulan itu, petani mengharapkan agar ada bantuan dari pihak berwajib untuk mereka bangkit kembali pasca banjir.